"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib akui RM42 juta dalam akaun peribadi bukan derma dari Arab Saudi

Bernama

Najib Razak hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.

Bekas perdana menteri itu membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam kepada SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

“Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi,” kata Najib.

Kwan: Pada fikiran anda - jika saya boleh menggunakan perkataan itu - pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?

Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.

Terdahulu, Kwan meminta Najib mengakui bahawa pembelaannya berhubung “derma Arab Saudi” telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah berkaitan.

Kwan: Pembelaan anda (derma Arab Saudi) telah ditolak di semua peringkat mahkamah (dalam kes jenayah SRC International). Betul?

Najib: Ya, tetapi saya perlu menjelaskan kerana saya tidak berpeluang memberikan penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan. Sebab itulah dalam prosiding semakan, salah seorang hakim - seorang hakim kanan - bersetuju dengan pendirian kami. Dalam semakan itu, dia memutuskan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Kwan: Secara keseluruhan, dapatan majoriti mengekalkan kesimpulan bahawa dana tersebut bukan derma Arab Saudi. Adakah betul?

Najib menjawab: “Ya, malangnya begitu.”

Najib turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi, dalam keputusan terbaru perbicaraan melibatkan 1MDB, memutuskan tiada bukti dokumen yang menyokong pembelaannya berhubung “derma Arab Saudi”.

Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-Bernama

Dana sekolah RM138,673 ‘ghaib’, bekas pengetua maahad diheret ke mahkamah

Harapandaily

Bekas Pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Imam Nawawi (MIN), Kepala Batas, Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

Dia berdepan 23 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80 yang didakwa berlaku pada 2019.

Tertuduh, Zaidi Salleh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Zaidi atas kapasiti sebagai pengetua dan Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) MIN telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta diamanahkan kepadanya.

Dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta yang diamanahkan kepadanya dengan membuat pindahan wang berjumlah RM138,673.80 ke akaun sendiri serta bagi perbelanjaan lain.

Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan Maahad Al-Imam Nawawi (MIN).

Zaidi, 58, didakwa melakukan kesalahan itu pada Julai hingga Disember 2019 melalui 23 transaksi pemindahan wang dalam talian membabitkan nilai serendah RM300 hingga RM35,000.

Lelaki berkenaan berkhidmat sebagai pengetua MIN sejak 2019 hingga 2023 dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat selain boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala Zaidi diwakili peguam, Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail.

Hakim Zulhazmi membenarkan Zaidi diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Februari depan untuk penyerahan dokumen.

Kedah: 6 rumah kedai musnah dalam kebakaran

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Kebakaran membabitkan enam rumah kedai di Kampung Simpang 4 Kerpan, Ayer Hitam. FOTO Tular
Kebakaran membabitkan enam rumah kedai di Kampung Simpang 4 Kerpan, Ayer Hitam. FOTO Tular
Jitra: Enam rumah kedai di Kampung Simpang 4 Kerpan, Ayer Hitam di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.29 petang.

Beliau berkata, sepasukan 13 anggota dari BBP Jitra tiba di lokasi tidak lama kemudian dan dibantu 40 anggota dari sembilan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk memadam kebakaran itu.

"PGO Kedah mengarahkan jentera dari BBP Jitra dan PBS berhampiran ke lokasi kejadian.

"Komander Operasi melaporkan, setibanya di lokasi terdapat kebakaran membabitkan enam rumah kedai berlainan kelas dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah sebanyak 80 peratus, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Aminuddin berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan api terkawal pada jam 5.04 petang.