"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: PAS dengan jawatan ketua pembangkang

Mohsin Abdullah

Takiyuddin Hassan selaku timbalan setiausaha agung PN beritahu media Ahad lalu PAS ambil alih jawatan ketua pembangkang dipersetujui majlis tertinggi gabungan.

Dalam artikel Isnin lalu saya tulis PAS akan ambil alih jawatan ketua pembangkang di Parlimen dan lengkaplah penguasaan parti itu dalam politik pembangkang negara ini.

Ini saya tulis berdasarkan apa yang Takiyuddin Hassan selaku timbalan setiausaha agung Perikatan Nasional beritahu media Ahad lalu selepas mesyuarat khas PN.

Beliau juga memberitahu, PAS ambil alih jawatan ketua pembangkang dipersetujui Majlis Tertinggi PN. Yang perlu dilakukan kata Takiyuddin lagi ialah menentukan calon bagi jawatan itu. Ini memerlukan ‘sedikit masa’, kata beliau.

Maka hampir semua media melaporkan begitu yakin wakil PAS akan jadi ketua pembangkang. Antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Bernama, Malay Mail, New Straits Times dan ya – FMT juga. Tidak mungkin semua tersilap dengar apa Takiyuddin kata dan tersalah faham. ‘I don’t think so’.

Selain Takiyuddin kata apa yang beliau kata kepada media (seperti apa yang kami faham apa beliau kata) tidak ada apa yang dilakukan sama ada oleh PAS mahupun PN.

Lalu berkata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, pejabat speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.

“Perkara ini memerlukan dokumen bertulis yang jelas bagi memperincikan dan memperjelaskan kedudukan dari sudut perundangan selaras dengan peraturan Dewan Rakyat,” kata Ramli.

Siapa yang harus melakukan itu semua? Yakni menghantar dokumen rasmi dimaksudkan. Pada pandangan saya tentulah PAS kerana ia ada jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan pembangkang di Parlimen dan khusunya Takiyuddin sendiri selaku timbalan setiausaha agung PN. Dan beliau juga setiausaha agung PAS.

Oleh kerana tiada apa yang berlaku atau dilakukan, kenyataan timbalan speaker membawa erti Hamzah Zainudin (yang dipecat Bersatu tempoh hari) masih kekal berperanan sebagai ketua pembangkang, setakat ini. Itu kata kuncinya ‘setakat ini’.

Hamzah semasa ditemui media tiga hari lalu enggan komen. ‘Later’ katanya. Sesungguhnya seperti saya tulis Isnin lalu kehilangan jawatan ketua pembangkang ‘is a big blow to Hamzah’. Tamparan hebat ketika beliau mencari sinar setelah dipecat Bersatu.

Perlu diingat, Hamzah mendapat jawatan ketua pembangkang atas ihsan PAS kerana parti itu beri laluan kepadanya. Secara logik Presiden PAS Hadi Awang atau sesiapa daripada partinya layak duduk kerusi ketua pembangkang. Ini kerana bak dikata tadi jumlah kerusi terbanyak milik PAS dalam kalangan pembangkang di Parlimen.

Itu masa Hamzah ada parti. Sekarang tidak berparti. Bolehkah seorang Ahli Parlimen bebas jadi ketua pembangkang? Kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari: “Amalan paling kukuh dari sudut peraturan dan demokrasi berparlimen ialah mana-mana Ahli Parlimen yang bukan daripada kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang wajar diiktiraf sebagai ketua pembangkang.”

Betul katanya itu. Beliau juga berkata: “Ini termasuk jika majoriti Ahli Parlimen pembangkang mengekalkan Ahli Parlimen Larut (Hamzah) sebagai ketua pembangkang.”

Itu juga betul. Cuma Hamzah tidak mungkin dapat sokongan majorti kerana Ahli Parlimen Bersatu tidak akan setuju. Kecuali beliau memang ada 18 Ahli Bersatu menyebelahinya seperti beliau dakwa.

Atau Hamzah jadi ahli PAS. Saya ulang apa yang ditulis dalam artikel lalu: ‘Jika beliau masuk PAS dan parti itu pula pilih beliau jadi ketua pembangkang Hamzah pun menang besar. Muhyididn (Yassin) tepuk dahi. PN tak aman’.

Tidak kira masuk PAS atau tidak, jika Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang ia menunjukkan PAS tidak peduli atau tidak hormat keputusan Bersatu pecat Hamzah dan geng. PAS tunjuk ia masih sayang Hamzah. Bersatu marah dan boleh buat kacau.

Jika demi solidariti PN dan mengambil kira apa kata Takiyuddin kepada media yang disebut tadi, Hamzah diketepikan dan PAS ambil alih ketua pembangkang atau beri kepada orang Bersatu, Hamzah marah dan buat kacau. Bolehkah beliau buat kacau dalam keadaan terumbang-ambing sekarang?

Atau beliau dan geng yang dipecat Bersatu duduk di luar PN (sama ada sebagai Ahli Parlimen bebas atau ahli parti baharu) tetapi hanya sokong PAS tentu tidak Bersatu.

Muhyiddin bersama gengnya dalam Bersatu pula duduk dalam PN juga hanya sokong PAS dan tentunya tidak ‘Hamzah dan Co’. Memang ‘kong kali kong’ tetapi saya ulang apa yang pernah saya tulis: PAS biasa main dua kolam. ‘No problem’.

Tidak puasa kerana ‘layan’ pelanggan kata pelacur warga Indonesia

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Antara pelacur warga asing yang ditahan di Jalan Kem, Pelabuhan Klang. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!
KLANG – “Saya tidak berpuasa kerana mahu ‘melayani’ pelanggan”.

Itu alasan seorang wanita warga Indonesia beragama Islam yang sanggup mencemari bulan Ramadan untuk mencari rezeki haram sebagai pelacur di siang hari.

Dia antara 17 wanita disyaki pelacur warga asing yang diberkas polis dalam serbuan di kawasan deretan rumah kedai di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Wanita berasal dari Batam itu yang dikenali Mimi, 29, turut mengaku baru menghisap dadah syabu sebelum ditahan dalam operasi berkenaan.

Dia yang masih bujang mendakwa, baru dua bulan datang ke Malaysia dengan menyewa bilik berharga RM800 sebulan.

“Bilik itu juga dijadikan tempat untuk saya melacur dengan harga serendah RM70 bagi khidmat seks kepada pelanggan warga tempatan dan warga asing. Saya hanya mengambil lima pelanggan sehari,” katanya.

Tambah Mimi, dia tidak mengetahui nasibnya sama ada dapat menyambut Aidilfitri atau sebaliknya kerana ditahan.

Kegiatan mereka terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE

Imam Utah jadi sasaran tembakan lelaki bertopeng pada Ramadan

Bernama

WASHINGTON: Seorang lelaki bertopeng melepaskan beberapa das tembakan ke arah seorang pemimpin Islam di luar kediamannya di Utah, Amerika Syarikat (AS) semasa bulan suci Ramadan, menurut pihak berkuasa dan media tempatan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sasaran serangan pada petang Isnin di pinggir bandar Salt Lake City itu ialah Shuaib Din, imam yang mengetuai Pusat Islam Utah, masjid terbesar di negeri berkenaan. Beliau tidak cedera, namun kenderaannya terkena beberapa das tembakan, lapor The Salt Lake Tribune yang memetik polis.

Shuaib memberitahu akhbar itu bahawa seorang lelaki berada di dalam sebuah kereta di luar rumahnya sebelum melepaskan tembakan ketika beliau keluar untuk menunaikan solat Isyak.

“Dia tahu rumah saya, tahu kereta saya, tahu jadual saya,” katanya.

Shuaib berkata beliau berbuka puasa bersama keluarganya di rumah yang terletak kira-kira dua minit dari masjid. Ketika beliau keluar dari garaj, lelaki bersenjata yang memakai topeng dan baju hud keluar dari sebuah kenderaan lalu melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.

Selepas menghubungi talian kecemasan 911, Shuaib berkata beliau cuba mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan suspek. Lelaki bersenjata itu kemudian berpatah balik dan berada di sebelah kenderaan Shuaib sebelum melepaskan sekurang-kurangnya lapan lagi das tembakan.

Menurut Shuaib, peluru mengenai tempat duduk hadapan dan belakang serta cermin hadapan kenderaan. Beliau cuba mengejar suspek namun kemudian membatalkan usaha itu.

Polis memaklumkan tiada suspek ditahan setakat ini selain mengeluarkan imej kenderaan yang dipercayai milik suspek.

Dalam satu kenyataan, Pusat Islam Utah mengucapkan terima kasih kepada pihak penguat kuasa undang-undang dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, sambil memaklumkan langkah keselamatan dipertingkatkan akan dilaksanakan di masjid itu.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menawarkan ganjaran AS$5,000 bagi maklumat yang membawa kepada penahanan dan sabitan suspek. Ia juga menggesa perlindungan polis ditingkatkan untuk Shuaib dan komuniti Islam.

Shuaib berkata beliau tidak tahu siapa yang melakukan serangan itu dan berpendapat ia mungkin jenayah kebencian.

“Saya benar-benar terkejut,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU