"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek pukul isteri hingga parah pernah kahwin 9 kali, sasar penjawat awam

Malinda Abdul Malik
MGF29042026_REMAN-PUKUL-ISTERI-_05-681x454
Anggota polis membawa seorang lelaki selepas mendapat perintah reman selama 7 hari atas tuduhan memukul isterinya hingga keguguran di Mahkamah Sungai Petani, Kedah. Foto MALAYSIAGAZETTE, 29 APRIL 2026.
ALOR SETAR – Latar belakang lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga parah dan keguguran di Sungai Petani terungkai apabila siasatan polis mengesan beberapa rekod kes hampir sama, selain suspek cenderung menyasarkan wanita penjawat awam.

Memetik laporan yang dimuat naik Polis Kedah di Facebook hari ini, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai masih mempunyai tiga isteri, manakala perkahwinan terbaharunya dengan mangsa dilaksanakan di Selatan Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, suspek juga dipercayai mempunyai modus operandi menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

“Majoriti pasangan suspek adalah wanita bekerja tetap, kebanyakannya kakitangan kerajaan. Malah, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang kebanyakannya melibatkan kes keganasan terhadap isteri dan teman wanita.

“Antara kes direkodkan termasuk di bawah Seksyen 325, 323 dan 506 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kes pada 2018 berkaitan perbuatan menyembunyikan kelahiran.

“Manakala kes terdahulu melibatkan kejadian mencederakan isteri di Johor Bahru pada 2021 yang membawa kepada hukuman penjara 10 tahun itu kini masih dalam proses rayuan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.
Dalam perkembangan berkaitan, Adzli mengesahkan suspek berjaya ditahan pada jam 4.45 petang semalam di sebuah rumah inap di sini, selepas dipercayai bersembunyi.

Katanya, lolis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz, empat telefon bimbit serta beberapa objek dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Dari segi perkembangan mangsa, wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam itu dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.

“Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan serta tulang belakang, selain mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

Samseng bermotosikal simbah petrol, bakar dua kenderaan

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar memaparkan aksi suspek membakar dua kenderaan dalam kejadian di Kapar, Klang.
KLANG – Tindakan berani sekumpulan lelaki bermotosikal bertindak membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal menggemparkan penduduk di Kapar, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12.12 tengah malam itu disedari mangsa berusia 55 tahun selepas terdengar bunyi letupan sebelum melihat Toyota Avanza dan Perodua Myvi miliknya terbakar.

Insiden berkenan turut tular menerusi video berdurasi 56 saat memaparkan aksi suspek tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal terlibat dalam kejadian itu.

“Kumpulan suspek telah memecahkan cermin sebelum menyimbah petrol dan membakar kedua-dua kenderaan itu. Api bagaimanapun berjaya dipadam sepenuhnya dengan bantuan jiran,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menambah, kejadian itu mengakibatkan bahagian dalam kedua-dua kenderaan mangsa terbakar sebanyak 30 peratus.

Tegasnya, usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

'Mereka ramai sangat, pengotor pulak tu'

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan sekumpulan warga asing dari Pakistan yang tinggal di sebuah pangsapuri dalam satu operasi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan sekumpulan warga asing dari Pakistan yang tinggal di sebuah pangsapuri dalam satu operasi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: "Bagus buat operasi selalu, bersihkan semua. Dah ramai sangat dia orang ini."

Itu kata Mohamad Syaril, 38, penduduk di Flat Taman Pantai Dalam, di sini, selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyerbu kawasan perumahan lima tingkat itu awal pagi, hari ini.

Dia yang sudah menetap di situ sejak tahun 1999 berkata, kawasan flat yang merangkumi dua blok itu mula dibanjiri warga asing terutama Pakistan sejak kira-kira lima tahun lalu.

"Ayah saya beli rumah ini hampir 30 tahun dan saya duduk di sini sejak itu. Dulu memang boleh kata semua orang kita, tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini ramai warga asing.

"Mereka ramai sangat. Rasa macam dia orang lagi ramai daripada kita. Kita yang orang Malaysia ini jadi tak selesa tambah-tambah dengan perangai pengotor mereka.

"Buang sampah sesuka hati, ada sekali saya tegur seorang warga asing sebab dia selamba meludah di koridor di depan mata saya," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.

Menurutnya, secara peribadi dia tidak rasa terancam dengan lambakan warga asing terbabit cuma tidak selesa apabila golongan itu lebih ramai daripada orang tempatan.

Katanya, ramai pemilik asal kediaman di situ sudah tua, ada yang meninggal dunia dan waris mereka tidak lagi tinggal di kawasan itu sebaliknya menyewakan kepada warga asing terbabit.

Turut sependapat, Amir, 30, berkata, dia dan isterinya menyokong tindakan JIM Kuala Lumpur menjalankan operasi penguat kuasaan di kawasan flat itu.

"Mereka memang ramai, malah boleh buka kedai (berhampiran flat), boleh berniaga dan kedai-kedai ini jadi tempat mereka berkumpul.

"Tetapi mereka tidak cari pasal dengan kitalah (tempatan) setakat saya duduk di sini. Cuma masalah pengotor saja. Lain-lain bergaduh, mabuk ke mereka tak ada, setahu sayalah," katanya.

Sementara itu, jurucakap JIM Kuala Lumpur berkata, 46 individu ditahan terdiri daripada 29 lelaki Pakistan, lelaki Indonesia (9), wanita Indonesia (7) dan seorang lelaki warga India.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi bermula 12.10 tengah malam itu mendapati ada segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak nekad melarikan diri dengan keluar melalui bahagian balkoni.

Sebuah kediaman yang didiami empat warga Indonesia cuba menghalang kemasukan pegawai operasi dengan cara meletakkan papan dan barangan di bahagian belakang pintu dan mereka ditemui bersembunyi di beranda sejurus pintu dipecahkan.