"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia dipenjara 2 bulan, berkelakuan tidak senonoh depan jururawat

Abdul Rahemang Taiming
Umrah Anton Sampe Limbong dipenjara dua bulan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat. – Foto NSTP
TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Umrah Anton Sampe Limbong, 28, yang juga pemegang pasport Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, yang memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat wanita sehingga menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah klinik di sini pada jam 9 pagi, 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu mengalami sesak nafas dan sakit dada.

Doktor kemudian mengarahkan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) dijalankan sebelum jururawat terbabit membawa tertuduh ke bilik pemeriksaan bagi membuat persiapan prosedur berkenaan.

Bagaimanapun, ketika jururawat sedang menyediakan mesin ECG, tertuduh secara tiba-tiba melakukan perbuatan tidak senonoh.

Mangsa yang ketakutan kemudian keluar dari bilik pemeriksaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada doktor bertugas, sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan tertuduh di lokasi kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Anggota polis maut langgar tayar lori tercicir

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Tangkap layar sebiji tayar yang tercicir di tengah Lebuh Raya Utara Selatan, arah Jawi, pagi tadi
SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis maut akibat terjatuh dan terseret di jalan raya ketika motosikalnya melanggar tayar lori yang dipercayai tercicir di Kilometer 140.6 Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi, hari ini.

Mangsa berusia 40 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa yang merupakan pemandu kereta turut dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal itu kira-kira pukul 6 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di permukaan jalan.

“Bedah siasat di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya,” katanya di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE

Suhu melonjak kepada 40 - 45 darjah Celsius menyebabkan lampu isyarat cair

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan beberapa lampu isyarat di Jerman dan Itali berubah bentuk akibat gelombang haba. - Instagram
BERLIN – Satu klip video tular memaparkan beberapa lampu isyarat cair dan tidak berfungsi apabila fenomena gelombang haba melanda sebahagian Benua Eropah, lapor portal berita Says. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @saysdotcom menunjukkan lampu isyarat di Jerman dan Itali berubah bentuk seperti coklat yang cair selepas terdedah kepada panas. 

Kejadian itu berlaku apabila negara-negara Eropah dilanda cuaca panas melampau dengan suhu melonjak kepada 40 darjah Celsius hingga 45 darjah Celsius. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 219,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

Namun, sebilangan pengguna media sosial menyatakan bahawa suhu sedemikian tidak boleh mencairkan lampu isyarat melainkan ia terbakar atau dilanggar oleh kenderaan. 

“Kenapa infrastruktur mereka terlalu lemah?” kata seorang netizen. 

‘Made in Euro’, kata pengguna media sosial lain. – AGENSI