"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing ditahan cederakan polis bantuan di Genting Highlands

Bernama

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki mencederakan anggota polis bantuan dan merosakkan peralatan kasino di Sky Casino, Genting Highlands, Bentong kira-kira 5 pagi Selasa. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, DSP Azmi Mahmod berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 34 tahun disyaki berada di bawah pengaruh alkohol, dipercayai bertindak agresif terhadap orang awam sebelum memasuki kawasan kasino berkenaan.

“Suspek kemudiannya telah merosakkan tiga skrin mesin judi dengan menghentakkan kepalanya ke arah mesin tersebut serta merosakkan dua kerusi yang dianggarkan bernilai RM85,000. 

"Lelaki itu turut mengalami kecederaan di bahagian dahi dan telah menerima enam jahitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, suspek turut bertindak agresif dengan menumbuk mulut polis bantuan Genting Highlands berusia 32 tahun sehingga menyebabkan dua batang giginya patah, dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Bentong.

Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan suspek negatif dadah.

“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam keterangan saksi, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda. 

-- BERNAMA 

JIM tahan 20 warga asing disyaki terlibat sindiket penipuan dalam talian di Pudu

Bernama
Kegiatan 20 warga asing menjadikan empat unit kediaman di Jalan San Peng, Pudu, Kuala Lumpur, sebagai pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam. - Gambar Jabatan Imigresen Malaysia
Kegiatan 20 warga asing menjadikan empat unit kediaman di Jalan San Peng, Pudu, Kuala Lumpur, sebagai pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam. - Gambar Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR: Kegiatan 20 warga asing menjadikan empat unit kediaman di Jalan San Peng, Pudu, di sini, sebagai pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pada 11.45 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, individu yang ditahan adalah 17 lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 43 tahun terdiri daripada warga Taiwan (lima), China (empat), India (lima) dan Thailand (enam).

“JIM merampas empat pasport Taiwan, empat pasport China serta tiga pasport Thailand. Turut disita adalah 45 unit telefon bimbit, komputer (lapan), komputer riba (tiga), penghala Internet (lima), walkie-talkie (empat), kad akses, skrip penipuan dalam bahasa Thailand serta pelbagai jenis ubat-ubatan dipercayai dari luar negara.

“Wang tunai berjumlah RM5,370 serta mata wang asing iaitu 1,400 Myanmar Kyat, 36,000 Kemboja Riel, 4,280,000 Vietnam Dong dan 31,000 dolar Taiwan turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah dengan menyewa premis kediaman mewah untuk dijadikan pusat operasi kegiatan penipuan pelaburan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas dan menyasarkan mangsa dari Thailand, India, Taiwan serta Jepun.

“Siasatan mendapati warga asing berkenaan bertindak sebagai kumpulan operator yang menjalankan kegiatan penipuan itu dari 8 pagi hingga 8 malam dan tidak dibenarkan keluar secara bebas. Bekalan makanan juga dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

Mengapa belia Malaysia tidak turun ke jalanan Mengapa belia Malaysia tidak turun ke jalanan

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Kelesuan politik serta keraguan sama ada demonstrasi mampu membawa perubahan mungkin menjadi antara sebab golongan muda di Malaysia tidak turun ke jalanan, walaupun mereka berdepan banyak masalah sama yang mencetuskan protes di Eropah, kata seorang ahli akademik.

Protes membabitkan golongan muda tercetus di beberapa negara seperti Perancis, Itali, Sepanyol dan Portugal berhubung isu gaji rendah, harga rumah tidak mampu dimiliki, peningkatan kos sara hidup serta masalah pendidikan. Sebahagian demonstrasi itu turut bertukar ganas.

Penganalisis politik Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya yang mengkaji gerakan sosial dan protes berkata anak muda Malaysia turut berkongsi banyak keresahan sama seperti golongan muda di Eropah.

Namun, katanya, Malaysia masih belum mempunyai gerakan belia bebas yang tersusun dan berterusan, khususnya dalam memperjuangkan isu ekonomi.

Khoo, yang juga profesor madya dalam bidang hubungan antarabangsa dan hak asasi manusia, berkata sejarah panjang sekatan terhadap aktivisme pelajar dan perhimpunan awam di negara ini turut mewujudkan “budaya berhati-hati”.

“Namun, dalam keadaan sekarang, saya fikir faktor yang lebih penting ialah kelesuan politik dan rasa tidak percaya yang semakin meningkat terhadap institusi politik,” katanya kepada FMT.

“Bagi golongan muda, khususnya mereka yang membesar dengan menyaksikan konflik politik berulang kali serta janji yang tidak ditunaikan, mungkin timbul perasaan bahawa penyertaan dalam politik tidak semestinya membawa perubahan yang bermakna.

“Ramai anak muda Malaysia sudah penat dengan politik, terutama selepas harapan tinggi susulan pertukaran kerajaan pada 2018 akhirnya disusuli kekecewaan dan janji yang tidak tertunai.”

Khoo berkata golongan muda yang bergelut dengan gaji rendah, pekerjaan tidak terjamin dan kos hidup semakin meningkat mungkin juga tidak mempunyai masa atau tenaga untuk menyertai demonstrasi, lebih-lebih lagi jika mereka merasakan penyertaan itu tidak akan membawa perubahan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa ketiadaan demonstrasi besar-besaran tidak bermakna golongan muda tidak mengambil peduli tentang politik.

Katanya, ramai anak muda masih menyuarakan rasa tidak puas hati melalui media sosial, kempen berasaskan isu, penyertaan dalam pilihan raya serta kegiatan masyarakat.

“Namun, menyuarakan rasa tidak puas hati dan membina sebuah gerakan yang berterusan adalah dua perkara berbeza.

“Media sosial boleh menarik perhatian ramai dalam masa singkat, tetapi perhatian itu tidak semestinya berkembang menjadi organisasi yang berkekalan atau tekanan politik yang berterusan.

“Kita mungkin sedang melihat satu generasi yang kecewa dengan politik, tetapi kurang mempunyai hubungan dengan organisasi kolektif yang diperlukan untuk menggerakkan mobilisasi secara besar-besaran.

“Perkara itu sepatutnya lebih membimbangkan daripada sekadar bertanya mengapa anak muda Malaysia tidak turun ke jalanan.”

Khoo berkata sejarah gerakan pelajar di Malaysia, daripada aktivisme pada 1970-an hingga gerakan Reformasi dan Bersih, menunjukkan gerakan besar tidak terbentuk secara spontan.

Sebaliknya, katanya, ia memerlukan usaha pengorganisasian secara berterusan, tuntutan yang dikongsi bersama serta keupayaan membina kerjasama antara pelbagai kelompok masyarakat.

Bagi isu ekonomi mencetuskan gerakan sebesar itu, Khoo berkata golongan muda perlu mengaitkan pengalaman peribadi mereka berdepan ketidakstabilan kewangan dengan isu lebih besar seperti gaji, perumahan, ketidaksamaan dan peluang ekonomi.

Katanya, hubungan antara pelajar, pekerja muda, kesatuan sekerja, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti daripada pelbagai latar belakang kaum serta sosial juga perlu diperkukuh.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengkaji tingkah laku politik golongan muda berkata rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup setakat ini masih terkawal, antara lain kerana kerajaan dilihat memberi perhatian terhadap keresahan rakyat.

Beliau merujuk peningkatan bantuan kewangan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 sebagai satu contoh, sambil berkata Malaysia belum sampai ke tahap kesukaran ekonomi yang mendorong orang ramai turun ke jalanan secara besar-besaran.

“Dari sudut budaya juga, khususnya dalam kalangan orang Melayu, kita diajar bahawa keadaan huru-hara adalah lebih buruk,” katanya.

Syaza berkata anak muda Malaysia juga lebih selesa meluahkan rasa tidak puas hati secara dalam talian berbanding menyertai demonstrasi yang boleh menyebabkan mereka berdepan risiko ditahan.

Namun, beliau berkata isu gaji rendah dan peningkatan kos sara hidup boleh menjadi isu politik utama, terutama jika dimanfaatkan pihak pembangkang.

Katanya, banyak bergantung kepada sama ada rakyat merasakan keresahan mereka benar-benar didengar.