"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perak, Selangor dan Pulau Pinang dilanda banjir, ramai berlindung di PPS

BERNAMA
Keadaan banjir di Sungai Siput, Perak.
KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat ketara kepada 1,110 orang daripada 392 keluarga pagi ini berbanding 191 orang daripada 58 keluarga petang semalam, manakala Selangor mencatatkan sedikit penurunan.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Larut, Matang dan Selama kembali dilanda banjir dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 282 orang.

Ia diikuti Dewan Orang Ramai (DOR) Sungai Relong (93 orang), Masjid Ali Rouse Kampung Ulu Sepetang (91), Dewan Changkat Larah (73), SK Batu Hampar (71), DOR Kampung Simpang Halt (59), SK Matang Gelugor (58), Dewan Serbaguna Taman Kaya (56), SK Matang (49), Masjid Al Wusta (41), Masjid Al Hidayah (25) serta DOR Air Kuning, Asam Kumbang (13).

Daerah Kerian turut dilanda banjir semula dengan PPS SK Bukit Merah menempatkan 13 orang daripada tiga keluarga, manakala PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di daerah Hilir Perak, masih menempatkan 186 orang daripada 56 keluarga.

Sementara itu, di Selangor, 1,371 mangsa daripada 362 keluarga masih berlindung di enam PPS di daerah Kuala Selangor pagi ini berbanding 1,399 orang daripada 370 keluarga petang semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SK Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 399 orang, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela (396), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (280), DOR Bukit Kuching Tengah (116), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114) dan SRA Batu 8 Ijok (66).

Di Pulau Pinang, 95 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil di Nibong Tebal selepas kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan lebat selama beberapa jam malam tadi melibatkan dua kawasan iaitu Jalan Sekolah dan Kampung Sethu.

Penolong Pengarah Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 23 lelaki dewasa, 33 perempuan dewasa, 19 kanak-kanak lelaki, 13 kanak-kanak perempuan, dua bayi lelaki dan lima bayi perempuan. – Bernama

Dua maut, dua cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya SDE

Bernama
Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru Expressway (SDE), menghala ke Desaru, awal pagi tadi.  - Gambar Bomba Johor
Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru Expressway (SDE), menghala ke Desaru, awal pagi tadi. - Gambar Bomba Johor
JOHOR BAHRU: Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru Expressway (SDE), menghala ke Desaru, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, PBK I Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 pagi sebelum jentera dari BBP Penawar tiba di lokasi pada 2.06 pagi.

Anda mungkin berminat pada artikel ini
Wanita warga emas maut nahas babit dua kereta
DAP pertahan empat kerusi di Melaka bukti keyakinan rakyat berbilang kaum - Teo
Penunggang motosikal maut langgar treler
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, kereta Proton Persona dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dengan lima mangsa terlibat.

“Dua mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan wanita berusia 26 tahun menaiki kereta Proton Persona tersepit dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas hidraulik dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

“Dua mangsa lagi yang berada di dalam SUV iaitu wanita masing-masing berusia 51 tahun dan 47 tahun cedera, manakala seorang lelaki yang menaiki MPV selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans KKM.

Mohd Hazmi berkata, operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT itu tamat pada 3.38 pagi.

--BERNAMA

Rundingan kerusi BN-PN rumit jika tokoh besar mahu bertanding

Nora Mahpar

Tawfik Yaakub berkata keadaan itu menjadi ujian jika rundingan dibuat berdasarkan konsep penyandang diutamakan pertahan kerusi.

Pemimpin BN dan PN tidak menolak kemungkinan kerjasama bermula di Negeri Sembilan diikuti Melaka akan diteruskan pada PRU16.
PETALING JAYA: Rundingan agihan kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU16 berisiko menjadi rumit jika membabitkan tokoh besar termasuk yang mahu kembali bertanding seperti Nazri Aziz, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata hasrat bekas ahli majlis kerja tertinggi Umno itu kembali ke Padang Rengas bakal menimbulkan konflik kerana kerusi itu kini disandang Azahari Hasan dari PN.

Azhari memberitahu FMT yang beliau tidak akan menyerahkan kerusinya kepada Nazri dan mahu mempertahankannya pada PRU16.

Menurut Tawfik, keadaan itu menjadi ujian terhadap kerjasama BN-PN jika rundingan kerusi dibuat berdasarkan konsep penyandang diutamakan untuk mempertahankan kerusi terbabit pada PRU16.

Malah beliau menjangkakan konflik sama juga bakal berlaku di Gerik yang mungkin diintai Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sedangkan penyandangnya kini Fathul Huzir Ayob, juga dari PN.

Selain itu, Parlimen Machang disandang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mungkin cuba ditandingi Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang pernah mewakili kawasan terbabit sebelum PRU15.

“Saya melihat isu ini sebagai ujian sebenar terhadap keikhlasan kerjasama BN-PN.

“Jika terlalu mengutamakan kepentingan pemimpin masing-masing berbanding kebolehmenangan calon, rundingan kerusi boleh menjadi lebih rumit malah berpotensi mencetuskan pertembungan sesama sendiri di beberapa kawasan,” katanya kepada FMT.

BN dan PN mula bekerjasama sejak PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu dan diteruskan ke PRN Melaka, minggu lalu, menyaksikannya menang 24 daripada 28 kerusi DUN.

Pemimpin dua gabungan itu tidak menolak kemungkinan kerjasama diteruskan pada PRU16 dengan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa rundingan dibuat segera termasuk berkait agihan kerusi.

Menurut Tawfik, rundingan mungkin menjadi lebih kompleks apabila Azahari, Fathul dan Wan Ahmad Fayhsal kini menyertai Wawasan, komponen PN selepas dipecat daripada Bersatu.

Beliau berkata, Wawasan juga mempunyai kepentingan mempertahankan kerusi disandang pemimpinnya bagi memperkukuh kedudukan parti itu dalam PN.

“Namun kemenangan PN pada PRU15 tidak semestinya memberikan hak mutlak kepada penyandang untuk terus bertanding.

“Begitu juga status kubu tradisi Umno tidak bermakna kerusi tersebut mesti dikembalikan kepada BN,” katanya.

Cabaran dari PAS

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata jika rundingan menggunakan formula mengekalkan kerusi kepada penyandang seperti yang diamalkan pada PRN Melaka, Wawasan mempunyai asas mempertahankan Padang Rengas, Gerik dan Machang.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu sukar diselesaikan apabila pemimpin Umno turut mahu bertanding di kerusi berkenaan, sedangkan penyandang Wawasan dijangka enggan melepaskannya.

Malah beliau menekankan cabaran rundingan juga semakin besar apabila PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU15.

“Keadaan itu boleh menyukarkan Umno menuntut semula kubu tradisinya, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang turut menjadi tumpuan PAS,” katanya.

Tawfik bagaimanapun berpandangan formula agihan kerusi yang dipersetujui bersama masih boleh dicapai jika BN dan PN bersedia berkompromi dengan mengutamakan calon yang berpeluang menang.

“Kegagalan mengurus persaingan sesama sendiri boleh menjejaskan kerjasama kedua-dua gabungan dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.