"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi perempuan baru lahir ditemui masih hidup dalam guni beras

KOSMO!
SEORANG penuntut universiti menemui bayi perempuan yang baru lahir di dalam guni beras. - AGENSI
JAKARTA – Seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui masih hidup di dalam guni beras di kawasan belukar  berhampiran sebuah rumah kosong di Kota Palu, wilayah Sulawesi Tengah, lapor saluran berita Lambe Turah.

Bayi tersebut  ditemui oleh seorang penuntut universiti tempatan berusia 19 tahun yang dikenali sebagai TKN di Kompleks BTN Residen Taipa, Palu Utara pada pukul 10.45 pagi (waktu tempatan).

Tubuh bayi malang itu dilaporkan dihurung semut sebelum diselamatkan dan dikejarkan ke hospital.

Ketua Polis Sektor Tawaeli, Iptu Afif Ali ketika mengesahkan kejadian berkata, bayi perempuan itu ditemui lengkap bersama tali pusatnya di kawasan semak di tepi kediaman tidak berpenghuni berkenaan.

“Benar, telah ditemui seorang bayi perempuan dalam keadaan masih hidup berserta tali pusatnya di kawasan semak di tepi sebuah rumah yang tidak berpenghuni,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Daerah (RSUD) Madani Palu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Unit Rawatan Rapi Neonatal Madani Palu, Ni Made Puni Rastiti memaklumkan, bayi tersebut tiba di Jabatan Kecemasan  dalam keadaan mengalami kesukaran bernafas.

Pemeriksaan fizikal awal turut mengesan beberapa tompok kemerahan pada bahagian wajah, perut, dada dan kaki bayi berkenaan, dipercayai akibat digigit atau dihurung semut.

Pasukan perubatan turut mengesan tanda-tanda jangkitan kuman dan bayi itu kini diberikan rawatan antibiotik serta bantuan pernafasan oksigen melalui tiub hidung. – AGENSI

Pekerja Bangladesh tertimbus tanah runtuh

MEDIA MULIA
Operasi SAR mangsa tanah runtuh di Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga Bangladesh berusia 34 tahun ditemukan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Melayu Kepong, di sini, petang tadi.

Mangsa ditemukan pada pukul 5.14 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.45 petang.

Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang bersama sebuah jentera kemudian digerakkan ke lokasi.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pukul 2.55 petang dan mengesahkan kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan 2A/1, Kampung Melayu Kepong.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang pekerja di kawasan berkenaan tertimbus di bawah runtuhan tanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan kerja penggalian dan pengalihan tanah bagi mengesan serta menyelamatkan mangsa.

Operasi turut menggunakan bantuan jentera pengorek selain mendapat kerjasama agensi lain yang terbabit.

Mangsa ditemukan pada 5.14 petang selepas hampir dua jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Polis rempuh bot nelayan, rampas 56 kilogram syabu dari Malaysia

KOSMO!
TANGKAP layar daripada rakaman video menunjukkan pihak polis merampas 56 kg syabu yang cuba diseludup dari Malaysia ke Indonesia. -ANTARATV
JAKARTA – Polis  bersama kastam negara Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup masuk 56 kilogram (kg) dadah jenis syabu dari Malaysia dalam operasi di Perairan Gosong Sijenggi, Daerah Serdang Bedagai, wilayah Sumatera Utara, lapor agensi berita ANTARA.

Ketua Polis Daerah Sumatera Utara, Sonny Irawan berkata, operasi yang dijalankan kelmarin  merupakan susulan siasatan kes dadah terdahulu di kawasan Percut Sei Tuan.

Menurutnya, pasukan bersepadu melibatkan Unit Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Daerah Besar Medan dan kastam  berjaya menahan tiga suspek warga tempatan berusia 35 hingga 46 tahun yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah melalui laluan laut.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat cubaan menyeludup syabu dalam skala besar dari Malaysia menuju ke Sumatera Utara dengan menggunakan bot nelayan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan, ketika rondaan dijalankan di perairan sempadan Indonesia-Malaysia, anggota penguat kuasa mengesan sebuah bot nelayan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebaik menyedari kehadiran bot peronda kastam.

Ketiga-tiga suspek bertindak memecut laju bot tersebut bagi meloloskan diri meskipun tembakan amaran telah dilepaskan.

“Pihak berkuasa akhirnya terpaksa memberhentikan bot berkenaan dengan cara merempuhnya. 

Sementara itu, pegawai yang mengetuai operasi berkenaan, AKBP Rafli Yusuf Nugraha berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek bukan kali pertama melakukan kegiatan tersebut.

Menurut beliau, suspek dipercayai mengambil bekalan syabu  secara terus dari Selangor, Malaysia menggunakan bot nelayan selepas terpedaya dengan tawaran upah yang lumayan.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi membongkar rangkaian sindiket penyeludupan dadah rentas negara yang terlibat dalam kes ini,” katanya. – AGENSI