Azamin Amin | |
KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan! Dia, Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya. Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka. "Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!" Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w. "Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch," katanya sambil tersenyum lebar kepada kami. Itu perasaan yang diluahkan Azman kepada Harakahdaily yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini. Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru.Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu. "Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,"jelasnya dengan tenang. Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim. Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama. Lelaki berketurunan Cina ini masih bujang dan agak segan untuk ditemubual pada mulanya, tetapi kemudian menjadi teman mesra kepada kami berdua dari Harakahdaily. Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima. "Lambat laun, saya akan beritahu juga...cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah..."katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya. Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya 'banyak alasan' untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam. "Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa. "Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita." Setelah berkongsi rasa dengan Azman, kami beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. . Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam. "Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang. "Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,"kata Siti. Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu. Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat. Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor. "Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali... "Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan," katanya cuba menahan sebak Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya. Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain. Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam. "Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan. Sebelum mengakhiri perbualan, Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini. "Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah...percayalah, saya juga pernah melaluinya...,"tersenyum mengucapkan terima kasih kepada Harakahdaily. Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat. Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi,ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam. Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang kami temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam. Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu "Saudara baru, Saudara Kita" Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat. Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kamera menyorot wajah bercahaya mereka. Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre,Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir. Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan. "Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka. "Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,"katanya. Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini. Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya. Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru. Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669. Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Nikmat puasa, cahaya hidayah bagi saudara baru
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan