KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bukan saja bersangka tidak benar, bahkan membuat fitnah dan tohmahan melulu ke atas perjuangan PAS
Bidasnya, siapa Khairy yang hendak menilai perjuangan PAS dengan mendakwa PAS lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti dan bukan lagi menjadikan negara Islam sebagai wawasan utama PAS."PAS konsisten dengan dasar dan perjuangan parti dan tidak ada apa yang kita gadaikan. Sehingga sekarang kita masih bergerak seperti biasa, berasaskan manhaj perjuangan PAS," katanya kepada Harakah.
Ustaz Nasruddin berkata, cuma dari masa ke semasa PAS mempunyai pendekatan-pendekatan tersendiri untuk memastikan perjuangannya sentiasa segar di kalangan masyarakat.
Sehubungan itu beliau mencabar Khairy untuk membukti apa yang didakwa kononnya perjuangan PAS sudah terpesong dan tidak kena dengan perjuangan Islam selama ini.
Dalam ucapan Persidangan Agung Umno 2009 yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putera (PWTC) Selasa lalu, Khairy mendakwa PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam tidak lagi menjadi wawasan utama mereka.
PAS juga dakwa Khairy, tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor.
"Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar-menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa," Khairy dipetik sebagai berkata.
Mengulas lanjut, Ustaz Nasruddin berkata, ini menampakkan Khairy rabun dalam menilai perkembangan politik semasa. Apa yang berlaku mutakhir ini, PAS sentiasa menegur apa saja tindakan dan juga aktiviti yang dilihat bercanggah dengan syariat Islam.
"Kita menilai dan mempunyai satu pendekatan tersendiri iaitu kita menegur menggunakan saluran kita. Dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan melalui saluran parti yang lain.
"Sebagai contoh Dewan Pemuda PAS Pusat menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk menangani isu-isu seperti kawalan penjualan arak di negeri-negeri Pakatan Rakyat," katanya.
Ustaz Nasruddin menegaskan, PAS akan menyediakan satu proposal dan kertas cadangan keapda negeri-negeri Pakatan Rakyat. Itu contoh tindakan tegas dan berprinsip daripada Pemuda PAS untuk memastikan syariat itu tidak di kesampingankan di negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.
Oleh kerana itu katanya, apabila Khairy membuat tanggapan PAS tidak garang, ia hanyalah persepsi beliau seorang. Umpamanya, dalam isu arak, pergaulan bebas dan sebagainya PAS bersuara kerana ia isu kepentingan bersama.
Secara umum katanya, PAS ada saluran untuk menegur dan menasihatan rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat.
Ekoran itu, Ustaz Nasruddin mencabar Khairy jika dia hendak tahu perjuangan PAS berlandaskan Islam atau tidak, Umno serahkan pemerintahan negara ini kepada PAS sambil menyifatkan tuduhan Khairy itu sebagai sangat liar dan tidak bertanggungjawab.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan