"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dun Perak: Cawangan, ahli digesa siap sedia hadapi pilihan raya

Harakahdaily
TITI SERONG,28 Nov:
Cawangan PAS digesa bersiap lebih awal untuk menghadapi kemungkinan pembubaran DUN berdasarkan kemelut suasana politik Perak yang tidak menentu.

Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi taklimat Pembubaran DUN Perak untuk Cawangan PAS Parit Kasa di sini semalam.

"Sejak BN merampas kuasa pada Februari yang lepas, saya ingatkan kepada Jentera PAS bahawa BN telah melakukan sesuatu untuk menghadapi Pilihanraya, kerana itu jentera parti PAS juga mesti melakukan sesuatu juga,"jelasnya sambil memuji langkah proaktif yang dilakukan oleh cawangan tersebut dan wajar dicontohi oleh cawangan PAS di DUN Titi Serong dan seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Cawangan dan Ajk Cawangan tersebut dengan petugas pilihan raya di kalangan pemuda cawangan yang terletak dalam DUN Titi Serong tersebut.

"Usaha yang dilakukan oleh BN termasuklah mempergunakan badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihan raya,"kata Drs. Khalil.

Beliau juga mengharapkan cawangan perlu mengadakan sesuatu dan program tertentu seperti pergerakan jentera lebih awal seperti culaan undi dan pendaftaran pemilih yang baru.

"Pemuda perlu memeriksa setiap rumah penyokong PAS di cawangan dan memastikan kalau masih ada pengundi yang belum didaftarkan, kerana cawangan boleh tahu masalah ini berdasarkan pemeriksaan yang teliti yang dilakukan oleh cawangan," jelasnya lagi.

Tambahnya,PAS dan pakatan Rakyat perlu ada jentera yang kuat untuk menghadapi pilihan raya apalagi berdepan dengan BN yang mempergunakan sepenuhnya jentera kerajaan yang ada.

"Kemelut politik yang berlaku tidak akan dapat diselesaikan dengan perbicaraan di Mahkamah dan persidangan DUN...hanya pembubaran DUN yang mampu memyelesaikan krisis ini," tegasnya.

Tiada ulasan: