"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Garam dan usia, guru kepada Nik Aziz

Anual Bakri Haron
Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.
Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4WD. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.


Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama "the making of Nik Abdul Aziz."

Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, "Usually a true leader is not born. It is made."

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya, Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:


a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.

b) Berpisah dengan keluarga.

c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.

d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.

e) Digoda dan dirayu wanita.

f) Dituduh memperkosai isteri perdana menteri.

g) Dipenjara selama 9 tahun.

h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah.

) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.
Baca selanjutnya:- Berita penuh...

Tiada ulasan: