"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Besar Kelantan kais pagi makan pagi / Nizar / PKFZ / Altantuya

Adnan Ibrahim

Pada persepsi umum atau minda awam, mereka yang menjadi Menteri Besar atau berkaitan dengan menteri diklaskan sebagai pemimpin, sudah tentu banyak wang.Masyarakat melihat pada zahir menteri tinggal di rumah besar, menaiki kenderaan mewah ketika menemui rakyat maka sinonimnya sudah tentu gaji besar, wang banyak dan harta bertambah.

Mereka yang rapat pada mata rakyat seperti Ahli Parlimen contohnya boleh berubah mendadak daripada miskin kepada kaya selepas terpilih menjadi wakil rakyat maka tidak hairan kepada persepsi tersebut keatas menteri.

Rakyat tidak akan kata menteri tidak ada duit. Lepas bersara atau yang paling hebat, baru sahaja naik menjadi menteri, sudah terdengar tanah dan rumah di sana sini. Kereta menjalar daripada buruk kepada baru malah tidak mampu dibilang. Tambah kata orang, pencen pun tak habis makan.

Maka kalau itu persepsi yang sudah menjadi informasi, kenapa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan terus hasratnya menunaikan Haji pada tahun ini apabila isu penajaan mengerjakan Haji beliau menjadi bahan perbincangan umum.

Beliau sudah menjadi Menteri Besar selama 19 tahun, maka tidak hairan kalau tajaan menjadi isu, beliau boleh menunai Haji dengan wang sendiri tetapi kenapa ditangguh sehingga tahun depan?

Inilah perkara yang tidak mampu difikir kerana persepsi sudah menjadi informasi maka tidak terlintas kepada minda orang ramai bahawa Nik Abdul Aziz sebenarnya tidak ada wang.

Tidak terlintas langsung pada pemikiran awam bahawa Nik Abdul Aziz bekerja sebagai Menteri Besar selama 19 tahun dengan gaji beribu sebulan tetapi masih tidak ada wang mahu mengerjakan Haji.

Boros sangat Nik Abdul Aziz sehingga tidak ada langsung wang dalam simpanan! Cuba tengok menteri lain berapa banyak wang dalam bank? Simpanan dekat bank di Swiszeland, entah berapa gunung jumlahnya.

Cuba bertanya kepada orang Umno, kemana hilang wang projek pembangunan perumahan rakyat termiskin (PPRT) sebagaimana yang didedahkan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa lebih RM47 juta duit lesap di Terengganu dan di Kelantan. Ini semasa Datuk Anuar Musa jadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Datuk Seri Idris Jusoh jadi Menteri Besar Terengganu.

Ada pihak yang mendengar khabar Idris serta kroni berebut sakan dengan wang tersebut telah terbangkan ke Swiszeland. Itu cerita lama yang sampai sekarang hasil siasatan tidak didedahkan kepada umum. Itu cerita lama, kepada Melayu mudah lupa memang sudah lupa.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hanya dua penggal memegang jawatan tersebut tetapi sudah mempunyai rumah bernilai RM24 juta sebagaimana didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ng Suee Lim.

Khir bagaimanapun menafikan katanya rumah beliau hanya bernilai RM3.5 juta termasuk aset tanah. Tambah Khir, kalau rumahnya bernilai RM24 juta, beliau sanggup lantik Suee Lim sebagai ajen jualan rumah beliau.

Suee Lim sahut cabaran dan sedang menunggu surat lantikan ajen tetapi sehingga sekarang Khir membisu.

Terpulang kepada Khir mahu menilai berapa harga rumahnya, namun yang jelas 19 tahun Nik Abdul Aziz jadi Menteri Besar satu sen harta pun tidak ada pada beliau. Memang masjid beliau membesar tetapi rumah beliau dibelakang masjid kata orang Kedah: "Tang tu juga."

Apakah orang seperti Nik Abdul Aziz yang tiada harta mahu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Nanti SPRM diketawakan rakyat Kelantan. Kata mereka: "Sepatutnya Tok Guru kawe yang patut siasat SPRM."

Dilihat dengan mata kasar memang Nik Abdul Aziz menaiki kereta besar, berpejabat besar dan bergaji besar tetapi apa yang tidak diketahui umum beliau umpama orang miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ini jiwa besar yang ada pada Nik Abdul Aziz dan tidak ada pada menteri lain. Beliau meletakkan feelnya seperti orang kebiasaan. Menjiwai rakyat miskin dengan nilaian perasaan bukan hanya sekadar bercakap: "Kesian orang miskin."

Oleh kerana itu, rakyat perlu sayang kepada beliau. Sukar mahu cari pemimpin seperti ini. Seorang pemimpin yang memecah tembok kefahaman kebendaan melalui cara hidup beliau sendiri. Itulah akhlak yang ada kepada seorang pemimpin bukan hanya sekadar dimulut tetapi mengamal apa yang diperkatakan.

(Gambar: Rumah Nik Aziz di Pulau Melaka tidak sama dengan rumah para menteri besar BN walaupun sudah 19 tahun menjadi MB)


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim nampak nilaian yang ada kepada seorang Tok Guru sehingga beliau berani meletakkan Nik Abdul Aziz sebagai ikon kepada penyatuan tiga parti dalam pakatan rakyat yang akan didaftarkan.

Mereka yang menulis sehingga seolah menjebakkan Nik Abul Aziz dalam kancah rasuah patut berfikir dua kali. Bandingkan harta penulis dengan harta Nik Abdul Aziz. Lihat pengorbanan beliau kepada rakyat sehingga 19 tahun menjadi pemimpin, apakah tidak ada bahagian wang untuk beliau merasai nikmat kekayaan.

Sepatutnya orang yang mahu bersedekah, menghulur tangan kanan, tangan kiri tidak tahu. Itu yang dinamakan ikhlas. Kalau mahu bersedekah atau menaja Nik Abdul Aziz menunai Haji kenapa perlu mendedahkan kepada umum jika berniat ikhlas.

Mereka yang ikhlas, Allah SWT memberi ganjaran besar tetapi bila didedah kepada umum maka hilanglah ikhlas. Orang awam akan lihat ada kepentingan kerana Nik Abdul Aziz bukan sahaja ulama malah beliau Menteri Besar Kelantan.

Hadiah, sumbangan atau sedekah bagi orang awam lebih baik bisu supaya Allah memberi ganjaran yang besar. Lainlah ulama atau orang politik yang mahu beri sedekah kerana ia boleh jadi contoh akhlak baik kepada orang awam dan mendatangkan nama baik kepada parti.

Nanti ada yang bertanya, apakah sedekah bisu kepada Menteri Besar itu tidak mengundang rasuah? Kalau Menteri Besar itu tidak berakhlak maka berlakulah rasuah. Itu pentingnya pemimpin berakhlak daripada seorang ulama berjiwa kerohanian yang tinggi sehingga bila melakukan dosa nampak azab neraka Allah.

Lainlah menteri, sudahlah profesional dan jauh pula dengan didikan Islam maka lagi seronok dapat hadiah secara bisu. Akhirnya yang bagi hadiah dapat projek pun bisu. Bila sudah meletup dengan bom maka pecahlah lubang. Berapa seleweng harga kapal selam dan Sukoi?


Ketua Unit Senjata Api Dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Shaari Desa, berkata bahan letupan jenis 'pentaerythritol tetranitrate' (PETN) dan 'cyclotrimethylene trinitramine' (RDX) tergolong dalam kumpulan 'secondary explosive', digunakan untuk meletupkan wanita Mongolia Altantuya Shaariibu yang biasanya digunakan untuk aktiviti ketenteraan.

http://nanbinjai.blogspot.com

1 ulasan:

don't forget the past berkata...

inilah pemimpin yang kita inginkan! di Sabah kita tidak akan nampak pemimpin seperti ini, kerana bila terpilih saja jadi YB, mereka akan berubah 360 darjah, menjadi jutawan dalam sekelip mata, itulah sebabnya di Sabah ramai yang berebut-rebgut nak jadi YB, bukan hasrat nak berkhidmat kepada rakyat, tapi disebabkan mudah nak jadi kaya dan kebas duit rakyat, pemimpin yang kononnya memperjuangkan hak Sabah seperti pairin dan jeffrey kitingan juga adalah jenis manusia seperti ini, lihatlah sendiri istana mereka yang dibina dalam hutan.