Suatu ketika dahulu, pernah dihebohkan akan wujudnya sebuah penempatan seakan kampung baru yang dihuni kebanyakannya oleh orang luar di Unit Peti Undi Sungai Miang dalam Parlimen Pekan.Semakan terbaru terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2009 (1 Julai hingga 30 September 2009) yang dipamerkan bagi bahagian Parlimen Pekan memperlihatkan keganjilan.
Antaranya wujud ramai pengundi baru yang mendaftar sebagai pemilih di bahagian itu akhir-akhir ini.
Kebanyakan mereka dikesan mempunyai alamat asal negeri utara Semenanjung dengan kod negeri dalam kad pengenalan mereka adalah 02 iaitu merujuk kepada Kedah.
Kerusi Parlimen Pekan disandang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ia merupakan kerusi tradisi beliau sejak awal lagi.
Mengulas tentang ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Kamarul Hatta Mohamad Ali mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) supaya segera membuat semakan dan pembersihan dalam senarai daftar pemilih.
Sungai Miang terus menimbulkan kecurigaan, apatah lagi dengan wujudnya kelompok masyarakat Myanmar dan Kemboja di situ yang jika dilihat seperti memperoleh keistimewaan untuk memiliki tanah dan mendirikan penempatan dalam waktu yang singkat — keistimewaan yang tidak pernah dirasai oleh penduduk tempatan sendiri.
Ini sejajar dengan penemuan Kamarul Hatta dalam semakannya yang mendapati wujud pemilih berdaftar yang mempunyai kod negeri kelahiran 71, negeri atau negara yang tidak diketahui.
Siasatan The Malaysian Insider mendapati yang kod negeri kelahiran 71 tidak wujud dalam senarai bagi negeri kelahiran seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sama ada untuk negeri-negeri dalam Malaysia atau untuk negara-negara luar.
Keadaan sebegini menimbulkan tanggapan, termasuk di kalangan penduduk tempatan sendiri bahawa ini adalah perancangan rapi dalam usaha menetapkan keputusan pilihan raya umum.
Perkara ini adalah serius dan pemindahan pengundi secara begini adalah tindakan haram, kata Kamarul Hatta.
Justeru tegas beliau, SPR perlu bertindak secepat mungkin membuat pemantauan dan penapisan sebelum kewibawaannya dipertikaikan.
M/Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan