"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Royalti: Nazri tidak perlu khuatir

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 9 Dis:
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sidang media siang tadi memberitahu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak perlu khuatir kerana sudah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membawa isu tuntutan royalti ke mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang meminta kerajaan Kelantan menuntutnya di mahkamah berbanding kaedah berdoa yang disifatkannya sebagai doa bukan-bukan.

Nik Aziz pada sidang media di pejabatnya pagi tadi juga berkata, kerajaan negeri sedang mengusahakan mengikut saluran perundangan setelah melihat tuntutan royalti tidak dapat diselesaikan dengan cara baik dengan kerajaan pusat.

Beliau juga melahirkan rasa ‘bingung’ berhubung cadang terbaru menteri itu, sedangkan sebelum ini Nazri antara yang bersetuju untuk berdebat berhubung perkara yang sama.

“Sekali nak ajak berdebat, sekali suruh bawa ke mahkamah, mana satu yang dia nak ni? Kacau dibuatnya," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang meneliti dari segenap aspek, supaya hak tersebut dapat dikembalikan kepada rakyat negeri itu.

“Kalau nak bawa tuntutan tu ke mahkamah, kita kena ikut peraturan, tak boleh buat sesuka hati sahaja. Cabarannya ni hak mana dia nak? Debat atau mahkamah? Kalau mahkamah bukan sahaja dia yang nak? Kita pun nak, tetapi ada kaedah dia,”ujar Mursyidul Am Pas itu.

Tiada ulasan: