Zukri Aksah
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman berkata Pakatan Rakyat (PR) tiada pilihan kecuali menguasai kepimpinan kerajaan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-13 bagi memenuhi aspirasi rakyat.
Malah kata beliau, bukan mustahil untuk pihaknya mencapai sasaran tersebut jika dilihat pada senario semasa yang menunjukkan kelemahan pentadbiran pimpinan Umno-Barisan Nasional.
“Lima puluh tahun selepas Hiroshima dan Nagasaki dihancurkan, Parti Liberal Demoratik (LDP) membawa Jepun menjadi kuasa ekonomi kedua terkuat di dunia selepas Amerika Syarikat, tetapi Umno dan BN selepas lima puluh tahun memerintah Malaysia membawa negara ini ke ambang kehancuran,” kata beliau.Bukan hanya Jepun, bahkan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura jauh terkedepan dalam bidang ekonomi berbanding Malaysia yang jauh lebih kaya dari negara-negara ini dengan sumber alam semula jadi.
Fauzi berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Pahang bertemakan “Menggilap Harapan Rakyat” pagi tadi.
“Bermula PRU-12 tahun 2008 yang lalu, Umno dan BN sudah semakin kehilangan kuasa.
“PRU-12 menyaksikan BN hilang kuasa di lima negeri dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN juga hilang penguasaan dua pertiga di Parlimen.
“Harus diingat di Semenanjung Malaysia dalam PRU-12 lalu, tiga parti dalam Pakatan Rakyat bertanding melawan 14 parti komponen BN, dan Pakatan Rakyat berupaya mengatasi BN dalam undi popular,” jelas Fauzi.
Bekas pemimpin Umno ini juga percaya BN hari ini semakin berada dalam ketakutan yang tergambar dengan ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan kesediaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap penasihat PKR Datuk Anwar Ibrahim dalam kes penggunaan kalimah “Allah”.
“Bila masa pula Anwar terlibat dengan isu ini? Siapa yang sibuk berdemonstrasi baru-baru ini?” katanya.
Kerisauan BN ini, jelas Fauzi banyak berpunca dari keadaan ekonomi negara yang semakin teruk, dikhuatiri BN akan diketahui rakyat.
UBS Investment Research mendedahkan tahap rizab antarabangsa Malaysia telah merudum sebanyak 25 peratus pada tahun lepas, malah dari 40 buah negara di rantau ini yang dikaji oleh UBS, Malaysia berada di tangga ke-38.
“Ini semua berlaku tidak lain tidak bukan kerana salah guna kuasa dan rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin BN.
“Ini diakui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir yang menyifatkannya sebagai kebusukan yang sudah merebak sehingga ke usus,” kata Fauzi.
Fauzi dalam ucapannya juga merujuk keadaan negeri Pahang yang semakin teruk kebelakangan ini dengan jumlah hutangnya sahaja mencecah hampir RM1 bilion, ditambah dengan defisit bajet negeri sudah masuk tahun ke-12 berturut-turut.
Beliau turut mendedahkan ada sebuah syarikat yang ditawarkan sejumlah besar tanah negeri bagi menyelesaikan hutang kerajaan negeri dengan syarikat tersebut yang berjumlah lebih kurang RM200 juta.
“Jika ini menjadi amalan Kerajaan Pahang, gagal bayar hutang bagi tanah, gagal bayar hutang bagi tanah, akhirnya tanah mana yang tinggal untuk rakyat negeri ini,” jelas Fauzi.
Ucaptama dan penutup dijangka disampaikan oleh Anwar yang juga ketua umum PR pada pukul 4.45 petang ini.
M/I
Tiada ulasan:
Catat Ulasan