"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Rasmi ILMAN Berhubung Isu Islamic Fashion Festival


Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia baru-baru ini  telah dikejutkan dengan satu penganjuran pertunjukkan fesyen yang mana secara jelas telah menghina Islam dan Rasulullah s.a.w. Pertunjukkan fesyen ini telah menggunakan nama Islam tetapi langsung tidak menepati cara pemakaian Islam bahkan mempamerkan  satu tindakan mencemarkan kesucian Islam.

Apa yang dikesalkan adalah penaung kepada pertunjukan fesyen ini yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang beragama Islam.

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan dukacitanya melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga terhadap penglibatan Datin Seri Rosmah sebagai penaung kepada IFF yang juga merupakan seorang muslimah khususnya dan kesal terhadap penganjuran program ini secara umumnya.

Adakah umat Islam belum cukup terhina dengan pelbagai siri pencemaran dan pengkhianatan barat terhadap Islam dengan terbitnya karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah s.a.w? Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam? ILMAM melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.

ILMAM dengan ini menyeru kepada seluruh umat Islam untuk membantah dan mencela IFF ini dengan apa jua cara khususnya para ilmuan Islam yang berada dalam kerajaan Malaysia atau parti pemerintah agar turut sama bangkit membantah dan tidak menjadi ‘Syaitan Bisu’. Ingatlah firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman kenapah kamu menuturkan apa yang kamu tidak lakukannya? Sungguh besar kemurkaan Allah pada kata-kata kamu yang tidak dikotakan!"(Surah As-Sof:2-3)


ILMAM juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini. Setiap individu umat Islam harus berhati-hati dalam setiap tindakan kerana kemungkinan tindakan tersebut akan dikira sebagai perkara yang membatalkan syahadah tanpa disedari walaupun apa yang  dilakukan itu tidak berniat untuk menghina. Semua pihak terutama pihak yang berkuasa haruslah insaf dan sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga agama dan kesucian aqidah Islam. Ingatlah pesanan Baginda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Islam itu berada di tempat paling tinggi dan tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.


Ustaz Mohd Azizul Hisham bin ZulkifliPresiden,Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

Tiada ulasan: