Perhimpunan agung mana-mana parti politik, termasuk Umno tidak sempurna tanpa dijadikan sebagai medan menghentam lawan politiknya.
Kali ini, Pakatan Rakyat - gabungan PKR, PAS dan DAP- digelar sebagai raksasa hodoh berkepala tiga bernama Cerberus (watak dalam hikayat klasik Rom) oleh ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
"Bayangkan betapa susah dan menyesalnya menjadi badan kepada raksasa ni - satu kepala nak makan, satu kepala nak tidur, satu lagi nak jalan, pasti huru-hara jadinya.
"Itu belum lagi kalau ketiga-tiga kepala itu bergaduh, saling menggigit hingga boleh terjelepok jatuh di tengah jalan," kata Khairy yang juga anggota parlimen Rembau.
Menyampaikan ucapan dasarnya hari ini, Khairy berkata "politik raksasa" itu semakin nyata dalam isu negara Islam antara PAS dan DAP.
"Sungguhpun ada segelintir pemimpin PAS yang berkata penubuhan negara Islam bukan keutamaan demi menjaga hati DAP, tetapi jika ditanya Dewan Pemuda PAS, mereka masih tegar dengan perjuangan ini," katanya.
Sambil menyindir perjalanan pemilihan cabang PKR, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa berkecamuk dengan krisis dalaman akibat politik ghanimah (harta rampasan perang) gilakan kuasa "sehingga kerusi boleh terbang, pengundi hantu boleh wujud dalam senarai pemilih".
'Pengiktirafan khas' buat Guan Eng
Menurut Khairy lagi, dalam PKR, demokrasi "dibunuh" kerana jawatan tertinggi parti itu "dianugerahkan kepada satu keluarga tanpa bertanding".
Beliau bagaimanapun mengingatkan, Umno tidak boleh hanya bersandar dengan kelemahan pihak lawan.
"Walau badai datang melanda, walau bercerai jasad dan nyawa, pahlawan Pemuda akan terus mengejar Cerberus sehingga ke hujung dunia bagi menghapuskan si biang keladi penjahanam rakyat dan pemusnah negara ini," katanya.
Di samping kritikan terhadap Pakatan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi tokoh tunggal pembangkang yang dinobatkan 'pengiktirafan khas' sebagai "Khalifah Pakatan Al-Lim".
Setiauasaha agung DAP itu dikritik kerana didakwa gagal menunaikan janji dalam manifesto bagi memastikan bekalan air yang selamat, murah dan mencukupi di negeri yang diperintahnya.
"Ternyata jauh panggang dari api. Realitinya, dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, 'Khalifah Pakatan Al-Lim membawa 'hadiah raya' yang istimewa dengan menaikkan harga air. Hadiah raya yang sama turut diterima oleh rakyat Negeri Kedah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan