"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cikgu Mala layak jaga bumi Allah bukan Johor sahaja - Nik Aziz

Harakahdaily
LABIS, 27 Jan: "Beliau (Cikgu Mala) nampak hebat dan layak untuk menjaga bumi Allah, bukan Johor (sahaja)," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramah pertamanya di Tenang malam tadi.

Nik Aziz mengaku beliau tidak mengenali calon PAS itu dari dekat namun kehebatan bekas guru itu jelas kelihatan, antaranya melalui laporan temuramahnya dengan akhbar.

"Cara dia menggunakan bahasa (dalam temuramah) nampak hebat," kata Nik Aziz dalam ceramahnya di Dataran Air Panas, Labis.

Pengundi dan orang tempatan di Air Panas malam semalam ternanti-nanti untuk mendengar ceramah sulung Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena pilihan raya kecil DUN Tenang.

Cuaca lembab akibat hujan sepanjang hari semalam di daerah mengundi itu tidak menghalang orang ramai hadir mendengar ceramah yang diadakan di Dataran Air Panas.

Dalam ceramahnya, menteri besar Kelantan itu meminta pengundi memberikan sokongan penuh kepada calon PAS Normala Sudirman ketika pilihan raya 30 Januari ini.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang berkongsi pentas sama berkata, Normala mempunyai rekod yang cemerlang dan bukannya hanya calon yang "dikutip di tepi jalan".

Katanya, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala pernah dinobatkan sebagai guru cemerlang oleh Kementeri Pelajaran sendiri.

"(Guru cemerlang) bukan PAS yang bagi, bukan kerajaan Johor yang beri, yang bagi adalah Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan pusat," katanya.

Antaranya yang hadir menyampaikan ceramah adalah Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, ADUN PKR Simpang Pulai Chang Ming Kai dan peguam Hassan Karim.

Daripada 200 peserta yang hadir, kebanyakannya penduduk tempatan.

Suasana penuh warna-warni dengan adanya penyokong wanita yang menghampar tikar di bawah kanopi ceramah. Malah ada berdiri di kiri dan kanan menghadap dataran dan kanopi itu.

Malah juga yang asyik mendengar ceramah daripada gerai bihun sup atau sambil membelek barang-barang di gerai-gerai jualan sepanjang Jalan Sawah Baru, lapor Malaysiakini.

Sebelum itu, Nik Aziz yang tiba dengan tongkatnya seperti biasa kira-kira jam 11.00 malam disambut dengan laungan takbir.

Kawasan yang becak akibat hujan sebelum itu menyebabkan beliau dibantu dua orang yang memegangnya dan menyuluh ke tanah untuk ke pentas ceramah.

Ketibaan beliau menyebabkan orang ramai yang pada mulanya tidak ramai berbondong-bondong merapati kanopi untuk mendengar ucapan dan menatapi wajah Nik Aziz dengan lebih jelas.

Bukan sahaja masyarakat Melayu, kelihatan juga pengundi kaum Cina.

Bagaimanapun, terdapat juga yang 'mengintainya' dari jauh, di atas motosikal dekat jalan raya, tanpa memasuki kawasan tersebut.

Tiada ulasan: