"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga pesawat TUDM berlepas ke Mesir

Tiga pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual berlepas ke Mesir tengah hari ini bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pesawat tersebut akan turut membawa bekalan makanan bersama mereka.

"Pukul 12 ini tiga pesawat milik TUDM akan berlepas dari Kuala Lumpur. Macam-macam makanan mereka akan bawa sekali dalam pesawat tersebut seperti beras, sardin, minyak masak, rempah kari, tepung, dan lain-lain lagi," kataya ketika dihubungi Bernama.

Katanya kerajaan juga berusaha mendapatkan visa sementara khas daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan pelajar yang berada di Mesir dipindahkan ke Jeddah sebelum dibawa pulang.

"...sebab kita nak keluarkan pelajar kita ramai sangat. Jadi kita nak bawa mereka ini ke Jeddah dulu," katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi jalan laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail.

Dilaporkan terdapat kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di negara itu dan daripada jumlah tersebut 7,000 adalah pelajar.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: