"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kesatuan Kastam: Bersihkan nama Sarbani, jangan dakwa ‘bunuh diri’

Ibrahim Ahmad menjawab soalan pemberita selepas pertemuan dua jam di Kelana Jaya petang tadi. — Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 8 April: Kesatuan Kastam memutuskan untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mahu nama agensi itu dibersihkan selepas seorang penolong pengarahnya, yang disoal siasat di bawah Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM.
Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung juga mahu SPRM membuat penjelasan mengenai kematian Ahmad Sarbani Mohamed di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane kelmarin dan membersihkan namanya daripada dilabel “kes bunuh diri.”
“Kami berharap nama Sarbani akan dibersihkan daripada perkataan bunuh diri,” kata presidennya Ibrahim Ahmad kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira dua jam dengan Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam itu di Kelana Jaya dekat sini.
Turut hadir pada majlis hari ini ialah Persatuan Pengawai-pegawai Kanan Kastam, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Sarawak
“Kami mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk dapatkan penjelasan dan membersihkan nama Kastam,” kata beliau.
“Kami juga mahu bertemu dengan ketua SPRM dan dapatkan penjelasan dan apa yang SPRM mahu lakukan selepas ini,” kata Ibrahim.
Beliau juga meminta SPRM supaya bertindak profesional dalam proses soal siasat mereka dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan ke atas saksi dan suspek.
Ibrahim juga berkata, adalah tidak adil bagi SPRM menyasarkan pegawai-pegawai Kastam berhubung laporan kehilangan hasil cukai negara, didakwa RM108 bilion setiap tahun.
“Kami secara konsisten mengemukakan laporan hasil kami dan setiap tahun kami memperoleh sekitar RM28 bilion, jadi adalah tidak logik untuk kami bertanggungjawab bagi (kehilangan) RM108 bilion,” kata beliau.
Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini kelmarin.
Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.
Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Semalam, Najib mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.
Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: