Subky Latif
PEMBERIAN Mykad kepada warga asing secara mendadak dan merata telah dikesan di Selangor, di Kelantan dan dipercayai di banyak negeri lagi.
Tidak lain tujuannya adalah memenangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.
Kementerian Dalam Negeri telah bersekongkol dengan Basisan Nasional khususnya Umno untuk mengeluarkan Mykad kepada warga asing yang mencari pekerjaan di negara ini tidak kira mereka datang secara sah atau pun tidak.
Orang-orang ini telah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Umno untuk menjadi pengundi di kawasan-kawasan yang ia pernah menang tipis. Misalnya di kawasan Parlimen Pekan.
Datuk Najib menang sekitar lebih 200 undi ke atas Ustaz Ramli Mohamad, calon PAS 1999. Tiba-tiba dalam Pilihan Raya Umum berikutnya dia menang dengan majoriti berganda-ganda.
Bagaimana penambahan undi yang begitu banyak di situ dalam masa kurang dari lima tahun?
Pekan bukan kawasan membangun pesat seperti Shah Alam, beberapa kota di Selangor dan Pulau Pinang yang pertambahan penduduknya mendadak.
Sebahagian dari Pekan masih berimba. Tidak dijangka ramai orang berhijah ke situ. Tetapi di tengah rimba di pedalaman dilambakkan pengundi-pengundi jadian yang asalnya dari tempat dan wilayah lain.
Orang asing yang ramai boleh tidak dihantar ke negara asal, diberi peluang bekerja, diberi Mykad, dulunya sekadar kad pengenalan khas untuk dijadikan pengundi.
Jika mereka bersetuju mengundi BN, mereka dapat duit, dapat bekerja di negeri ini dan dapat menetap di negeri ini.
Ramai mereka dikatakan dikumpulkan di Langkawi dan di lain-lain tempat sebelum diagihkan ke kawasan-kawasan yang Umno perlu menang.
Cara ini pernah diproses di Kelantan berpuluh-puluh tahun dulu. Orang Melayu di Selatan Thailand didaftarkan sebagai pengundi di Kelantan.
Tenaga pengundi inilah yang merosotkan pengaruh PAS dan akhirnya hujung tahun 1970an Kelantan jatuh ke tangan Umno.
Tetapi pengundi ini dipercayai berpaling tadah, menyokong PAS hingga PAS mencatit rekod menang semula di Kelantan sejak 21 tahun lalu.
Teori menjadikan bukan warga negara sebagai pengundi berjaya membantu Umno untuk satu masa pendek tetapi anak cucu pengundi itu tidak terikat dengan Umno pada jangka panjang.
Tanah Melayu atau Malaysia menjadi tempat melambakkan warga luar adalah kejadian yang bermula beratus dan beribu tahun lalu. Bertambah menjadi-jadi dengan penjajahan British. Tetapi yang banyaknya setelah Dato Onn Jaafar menjadi Menteri Dalam Negeri di hujung pentadbiran British di wilayah ini.
Yang datang baik untuk tujuan ekonomi dari Hong Kong dan India atau pelarian disebabkan pemberontakan komunis di Tanah Besar China, biasa tidak balik lagi. Mereka menjadi pemestautin tetap yang lama.
Bila merdeka Tunku tidak mengambil langkah seperti Kenya, Uganda dan beberapa negara Afrika menghantar orang-orang dibawa British ke negara-negara itu dari benua India ke Britain kerana kedatangannya dulu adalah menggunakan paspot British.
Tunku dan Tun Razak melihat mereka berpotensi menjadi pengundi yang tidak mungkin mengundi PAS yang memperjuangkan Islam.
Dato Onn dan politiknya yang menjadi saingan Umno sebelum berkuasa telah dikuburkan selepas Umno berkuasa.
Potensi pencabar utamanya ialah PAS. Dengan memberi semua kemudahan melayakkan mereka menjadi pengundi, maka PAS boleh dilumpuhkan.
Pengundi bukan Melayu itu ditabur di merata-rata hingga tiada calon Melayu boleh menang mudah tanpa sokongan pengundi bukan Melayu. Strategi Umno itu menguntung Umno untuk jangka pendek 50 tahun misalnya.
Tetapi kerana PAS bukan parti perkauman dan anti rasuah, majoriti pengundi bukan Melayu tidak terikat lagi dengan Umno yang perkauman dan menggalakkan rasuah.
Apa pula strategi Umno setelah pengundi Cina lebih menerima PAS dari Umno?
Maka ia beralih kepada pekerja asing tidak kira dari negara mana mereka datang. Mereka datang untuk mencari rezeki, baik dengan cara yang sah atau tidak sah.
Tidak kira mereka ditipu lintah darat atau pekerja sah. Jika mereka menjadi pengundi, mereka boleh membantu Umno untuk berkuasa sepenggal lagi atau dua penggal lagi.
Apakah warga asing itu akan menjadi rakyat pula kemudian yang menyebabkan bertambah lagi masalah sosial negara tidak menjadi perhitungan.
Yang penting Umno yang sudah goyah itu boleh menyambung kuasa. Lalu Najib meneruskan dasar Dato Onn dulu bersedia melambakkan orang asing yang baru pula dengan menawarkan Mykad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan