"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS cabar MB Johor pula berdialog isu Mat Indera

Pemuda PAS Johor berkata tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman melabelkan Mat Indera dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional.

Ketuanya, Suhaizan Kayat berkata, dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi, menurut kajian dan pembacaannya, satu keputusan muktamad adakah pejuang berhaluan kiri dikira pejuang atau pengkhianat.

"Tindakan beliau (Ghani) melabel Mat Indera dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Suhaizan bertanya kepada Abdul Ghani, jika tindakan Mat Indera menyerang rumah pasung Bukit Kepong 1950 yang pentadbirnya ketika itu adalah British dan benderanya masih lagi bendera Union Jack, "saya mahu beliau (Ghani) beritahu kepada saya apakah status Tok Janggut yang turut mengambil tindakan yang sama sewaktu menentang penjajah British di Kelantan?"

"Yang ketiga, bagaimanakah Ghani boleh bercanggah dengan penulisan berkaitan Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan dalam buku Pengukir Nama Johor yang beliau sendiri menjadi penaung dan penulis prakata bagi buku ini?

"Bahkan buku itu merupakan terbitan Yayasan Warisan Johor yang merupakan agensi kerajaan negeri itu sendiri?
"Bagaimana selama ini semuanya ok dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?" tegasnya.

Bahkan, tambah Suhaizan, satu penemuan dan kajian baru tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong 1950 ini juga perlu dijadikan asas agar ruang kepada debat ilmiah serta kajian akademik dibuka semula, bukan dengan cara melabel secara semberono sepertimana dilakukan oleh Ghani.

"Saya amat mempertikaikan kenyataan-kenyataan dikeluarkan Ghani pagi ini. Saya sendiri sebagai anak jati Johor berasa amat kecewa dengan hujah-hujah dikemukakan beliau. Pada saya beliau seolah-olah berfikiran penjajah!

"Hujah yang beliau gunakan adalah saling tak tumpah seperti alasan dan hujah dari seorang pagawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan airmata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu," katanya.

Sehubungan itu, Suhaizan mencabar menteri besar Johor itu untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: