"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Asri, Juanda tanding PRU13?

G MANIMARAN DAN NIZAM ZAIN 
Asri, Juanda tanding PRU13?
Muka depan Sinar Harian edisi Selangor
SHAH ALAM: Di sebalik demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin dirasai, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya disebut-sebut antara ulama yang bakal diturunkan dalam gelanggang pilihan raya kali ini, yang dilabel sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’.

Nama beliau mula menjadi sebutan dalam senarai bakal calon PRU13, yang turut merangkumi nama bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Tempat Asri, 42, sebagai Mufti Perlis digantikan oleh Juanda, 41, empat tahun yang lalu.

Kedua-dua tokoh ulama ini tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai desas-desus kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun Sinar Harian difahamkan, Asri dan Juanda sudah didampingi semula beberapa parti, dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk bertanding kali ini kerana dilihat sebagai calon ‘boleh menang’ kerana memiliki karisma sebagai personaliti yang berlatarbelakangkan agama.

Juanda adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan mempunyai Ijazah Sarjana Syariah dengan pengkhususan Penggubalan Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nama Asri, kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, sudah pun menjadi sebutan sejak lebih setahun lalu dan beliau telah beberapa kali menafikan akan menyertai parti politik.

Asri disebut-sebut akan bertanding di Pulau Pinang manakala Juanda, anak kelahiran Sarawak, dipercayai akan diletakkan di Perlis.

Juanda yang sering kali muncul di stesen TV tempatan sejak akhir-akhir ini dilihat mempunyai pemikiran dan pandangan yang lebih cenderung kepada PR.

Namun khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding atas tiket Pas mungkin meleset kerana sumber dalaman Sinar Harian dan Sinar Harian Online memberitahu bahawa Juanda mungkin menyertai PKR dan tidak mungkin menggunakan platform Pas untuk bertanding nanti.

“Malah, beliau juga ada didampingi wakil Umno... jadi nampaknya beliau sudah dirisik semua parti,” kata sumber lagi.

Sungguhpun beliau seorang tokoh agama, namun ia tidak bermaksud Juanda perlu memilih parti bertunjangkan agama sebagai landasan utama untuk menyertai dunia politik negara.

“Dr Juanda kemungkinan besar akan bertanding di Perlis, berpotensi untuk tanding di Kangar... beliau sudah dihubungi, sedang mempertimbangkan tawaran.

“Malah, beliau juga sudah menunjukkan minat dalam bidang politik,” katanya lagi.

Perlis memperuntukkan tiga kerusi Parlimen.

Di sebalik dua nama itu, turut menjadi sebutan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya yang menyertai Umno tiga tahun lalu.

Sumber memberitahu bahawa Fathul Bari juga akan diturunkan pada PRU13 untuk membawa “kekuatan” ke atas imej Umno-BN pada kali ini.

“Apa yang pasti Fathul Bari akan tanding atas tiket Umno,” katanya lagi.

PRU13 disebut-sebut akan diadakan akhir Mac atau awal April ini.

Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir penghujung April. Jika Parlimen terbubar secara automatik, PRU13 perlu diadakan sebelum akhir Jun.

Tiada ulasan: