"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak pijak bapa sampai mati

Junaidi Ladjana
Kota Marudu: Berang selepas mendakwa isterinya disembunyikan ahli keluarga, seorang lelaki bertindak kejam apabila bukan saja memukul, malah memijak bertubi-tubi perut dan dada bapanya sehingga mati dalam kejadian di kedai runcit Kampung Tutuwoon, Pitas, dekat sini.

Mangsa, Oding Lumping, 84, dari Kampung Mandamai, Pitas, meninggal dunia di Hospital Pitas kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin, akibat pendarahan teruk dalam perut selain patah tulang rusuk akibat tindakan kejam anaknya.

Difahamkan, kira-kira jam 11.45 malam Jumaat lalu, anak mangsa berusia 40 tahun tiba-tiba mengamuk menendang pintu kedai milik keluarganya sehingga pecah ketika mangsa bersama isterinya tidur.

Sumber berkata, selepas itu, mangsa bersama isterinya Iyong Malong, 61, terjaga sebelum suspek meminta parang daripada bapanya kerana mahu mencederakan isterinya yang menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

“Suspek yang tidak puas hati tidak diberikan parang kemudian mengamuk dan bertindak memukul ibunya di bahagian kepala serta mencekik wanita itu.

“Selepas itu, suspek memukul bapanya sehingga mangsa terjatuh sebelum memijak berulang kali di bahagian perut warga emas itu sebelum beredar.

“Mangsa bersama isterinya kemudian bersembunyi di dalam semak di belakang rumah sebelum meminta bantuan penduduk kampung.

“Mangsa dan isterinya dibawa ke hospital pada kira-kira jam 6 pagi, semalam (kelmarin) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, ketika menerima rawatan di Hospital Pitas, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian saluran buah pinggang serta patah tulang rusuk kanan, manakala isterinya cedera ringan di bahagian kepala dan leher,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa memberitahu anak mereka itu pesakit mental dan pernah menjalani rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang dan kini mengusahakan kedai runcit di Pekan Pitas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 11 pagi kelmarin dan memberkas suspek pada jam 1.30 tengah hari, pada hari yang sama.

“Suspek ditahan di sekitar Kampung Tutuwoon oleh anggota dari Balai Polis Pitas dan kini direman selama tujuh hari.

“Punca kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan teruk bahagian saluran buah pinggang serta patah tulang rusuk kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai bermula apabila isteri suspek menghilangkan diri sejak seminggu lalu dan suspek mengesyaki ahli keluarganya turut terbabit menyembunyikan wanita itu.
-hmetro-

Tiada ulasan: