ARIF ATAN
KUALA LUMPUR: Konflik Umno Terengganu seperti tergambar pada peletakan jawatan Dato’ Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan pengumuman keluar parti tiga Adun lain sehingga 13 Mei lalu disifatkan ahli akademik sebagai “sarkas”.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, penafian pertukaran Menteri Besar (MB) ketika sambutan Ulang Tahun Umno ke-68 mengulang tindakan Perdana Menteri menyangkal tarikh pembubaran Dewan Rak yat pada 2008 lalu.
“Meriah suasana ulang tahun Umno dengan potongan kek dan semangat untuk terus kuat. Tibatiba semalam (12 Mei) MB Terengganu meletakkan jawatan dan digantikan dengan MB baru.
“Macam sarkas sahaja kata-kata pemimpin Umno ini, menafikan hal yang betul-betul akan berlaku.
Mengapa tidak belajar dari pengalaman tahun 2008 dahulu yang akhirnya berlaku tsunami politik?” ujarnya.
Menurut Agus yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, pembubaran Dun di Terengganu perlu dilakukan dengan menyerahkan pemilihan semula kepada rakyat negeri itu.
“Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi. Kedudukan kerusi di Dun Terengganu sekarang BN 14, Pakatan Rakyat 15 dan Bebas 3.
“Jadikan pengalaman di Perak, Februari 2009 dahulu sebagai pengajaran. Jika tidak mahu pilihan raya atas alasan penjimatan kos, buatlah undi tidak percaya di lantai Dewan,” jelasnya dipetik daripada Facebook beliau.
Pada masa sama, beliau mengingatkan PAS dan KeADILan supaya membiarkan Adun atau Ahli Parlimen dari Umno keluar parti tanpa pujukan dan sogokan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan