"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa hendak jadi jutawan?

ABD JALIL ALI
SEPANJANG bulan al-Mubarak yang mulia ini, anda tidak perlu bersusah payah berjualan di bazar Ramadan untuk membuat sedikit keuntungan. Tidak berbaloi berpanas dan berpeluh menjual ayam golek atau ikan bakar dengan keuntungan hanya RM100 atau RM200.
Juga hanya membuang masa dan tenaga bersusah payah menjual air tebu, sirap bandung, air mata kucing, atau terpekik terlolong hingga terkeluar anak tekak – “karipap!, roti John!, popia basah!” – sedangkan laba yang diperoleh tidak seberapa.

Kalau anda bijak, kini ada cara yang jauh lebih mudah untuk membuat keuntungan berkali-kali-kali ganda daripada modal yang dikeluarkan. Dengan modal tunai hanya RM300, anda boleh untung besar sehingga RM6,800 sebulan, tanpa melakukan sebarang kerja.

Malah, seperti yang diiklankan dan dihebohkan sehari dua ini, jika nasib baik dengan RM300 bukan sahaja keuntungan besar, anda juga berpeluang memiliki kereta mewah BMW model terkini menerusi cabutan bertuah.

Kalau anda percaya iklan itu, anda sebenarnya tidak bijak, malah singkat akal. Mana mungkin dengan modal sekecil itu anda boleh mendapat keuntungan hampir RM3,000 sebulan, malah dijamin pula boleh menjadi jutawan dalam masa hanya setahun.

Tetapi sesetengah orang kita memang suka dibodohkan. Mudah sangat mereka terpujuk dengan iklan seperti itu. Iklan yang menggunakan gambar Zhang Jian yang dikatakan seorang jutawan dari China – dan mendakwa ‘akan menjadi orang terkaya di dunia’ – itu banyak
dipasang pada poster, termasuk satu di Jambatan Pulau Pinang.

Perniagaan secara ‘multi-level marketing’ (MLM) yang diiklankan itu dikatakan telah memungut lebih RM300 juta sejak mula beroperasi di sini kira-kira setahun lalu.

Oleh sebab tamak, singkat akal dan ingin cepat kaya, beribu orang telah melabur dalam skim ini. Mereka tidak kaya, jauh sekali jadi jutawan, sebaliknya wang yang dilaburkan hilang entah ke mana. Impian memiliki BMW pun tidak menjadi kenyataan.

Setakat ini lebih 50 aduan telah dibuat oleh mereka yang berasa telah ditipu menerusi pelaburan yang diiklankan menerusi poster juga dalam internet.

Dua hari lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesahkan MLM model Zhang adalah tidak sah, dan menasihatkan orang ramai supaya jangan menyertai pelaburan skim ini.

Bagaimana syarikat tidak sah @ haram boleh diiklankan secara besar-besaran? Apakah pihak berkuasa tempatan tidak menyiasat lesen atau permit sebelum meluluskan iklan berkenaan? Atau apakah iklan tersebut juga dibuat secara haram? Banyak betul benda-benda haram di tempat kita!

Syarikat tidak sah pun boleh mengaut lebih RM300 juta, dan orang kita ditipu hidup-hidup. Yang kena tipu menderita.Pihak berkuasa asyik menyiasat, menyiasat dan terus menyiasat.

Orang kita – tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Dayak, dan lain-lain – memang sejak dulu sudah kerap ditipu oleh skim-skim perniagaan seperti ini. Ada yang menjadi papa kedana sebab menyertai pelaburan menerusi internet. Ada yang habis simpanan seumur hidup kerana menyertai pelaburan emas.

Dulu orang kita tergadai tanah, rumah, harta benda – malah isteri! – gara-gara terlibat dalam berbagai-bagai skim cepat kaya, termasuk skim Labu Peram, Pak Man Telo. Mereka tertarik dengan skim pelaburan entah apa-apa yang mendakwa boleh menawarkan pulangan sehingga tiga ratus peratus dalam tempoh tidak sampai setahun.

Kalau berpandukan logik, mana ada di dalam dunia pelaburan yang menawarkan pulangan selumayan itu. Mana mungkin hari ini labur RM300 bulan depan sudah dapat RM ribu-ribu. Mana logik labur RM300 boleh jadi jutawan dalam setahun.

Tetapi, orang tamak mana guna logik! Apabila haloba menguasai minda, tidak ada logik lagi. Apa yang diimpikan pagi petang siang malam hanyalah RM, RM, RM. Apa yang terbayang hanyalah menjadi jutawan. Akhirnya apa yang diimpikan dan dibayangkan semuanya kabur.

Apa yang dilabur semua lebur. Sebab itu ramai orang sewel dan bercakap seorang diri.

Pendek kata tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Maka teruskan menjual popia dan air tebu di bazar Ramadan. Biarlah tidak menjadi jutawan, asalkan untung diperoleh melalui usaha ikhlas dan murni. Itu lebih berkat dan bererti, insya-Allah.

Tiada ulasan: