"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sedekah jariah atau maksiat jariah?

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
KITA biasa mendengar mengenai sedekah jariah iaitu pahala amalan sedekah yang berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Ini kerana kesan daripada sedekahnya itu masih lagi dimanfaatkan oleh orang lain seperti membina masjid, sekolah dan sebagainya. Ini disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

“Apabila meninggal seseorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: dari sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwatat Imam Muslim)

Di samping sedekah jariah ini, terdapat juga apa yang dinamakan dengan dosa atau maksiat jariah. Dalam bahasa Arab, perkataan 'jariah' bermaksud berlari atau mengalir seperti dikatakan sungai yang mengalir dengan 'nahr jar'. Kemudian perkataan berlari atau mengalir ini membawa maksud kekal atau berterusan.

Justeru, sedekah jariah atau maksiat jariah bermaksud pahala atau dosa yang masih lagi kekal dan berterusan bertambah walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia, kesan daripada perbuatan yang dilakukan semasa hidupnya di dunia, sebagaimana firman ALLAH:

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan, serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (catatan amalan) yang jelas nyata.” (Yasin: 12)

Sesungguhnya pahala amalan baik dan dosa amalan buruk adalah perkara yang tidak dapat diragukan lagi kerana perhitungan atau hisab pada hari kiamat adalah berdasarkan kepada timbangan-timbangan amalan, sebagaimana firman ALLAH:

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiya’:47)

Manusia setelah meninggal dunia terbahagi kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada amalan baik dan buruk mereka di dunia.

Pertama, orang yang meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalan baik dan dosa amalan buruknya. Hanya baginya pahala atau dosa atas perbuatan yang telah dilakukannya di dunia semasa hidupnya.

Kedua, orang yang meninggal dunia, tetapi dosa dan pahalanya masih lagi berterusan. Orang sebegini, kesudahannya adalah bergantung pada berat timbangan salah satu daripada kedua-duanya, sama ada dosanya lebih berat atau pahalanya lebih berat.

Ketiga, orang yang meninggal dunia, namun pahalanya masih lagi berterusan kesan peninggalan amalan baiknya di dunia, sesuai dengan kadar keikhlasannya kepada ALLAH dan kesungguhannya melakukan amalan baik tersebut. Betapa bahagianya hidup orang sebegini di alam kuburnya sesudah kematiannya.

Keempat dan yang paling buruk adalah orang yang meninggal dunia dalam keadaan pahalanya telah terputus tetapi dosanya masih lagi berterusan sepanjang masa dia berada di alam kubur.

Malah dosanya semakin bertambah dari sehari ke sehari, sehinggalah dia dibangkitkan pada hari kiamat dengan membawa bergunung-gunung dosa yang dia sendiri tidak menyangkanya. Betapa rugi dan menyesalnya dia nanti di akhirat kelak.

Perihal dosa jariah ini, Imam al-Ghazali telah menyebutkan tentang perkara ini dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din dengan kata-katanya:

“Betapa beruntungnya buat orang yang mati, dalam masa yang sama, dosanya juga turut mati (terhenti), tetapi celakalah buat orang yang mati, namun dosanya masih kekal berterusan selama seratus tahun, dua ratus tahun, atau lebih dari itu. Dia diazab di dalam kuburnya kerana dosa-dosa tersebut.”

Sesungguhnya nas-nas al-Quran juga jelas menyatakan perkara ini, antaranya firman ALLAH SWT.

“(Mereka dibiarkan menuduh dengan demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar. Sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.” (Al-Nahl: 25)

Dalam dunia media sosial masa kini dengan aplikasi perkongsian maklumat yang serba canggih seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram dan pelbagai lagi, hakikatnya mendedahkan kita kepada ancaman maksiat jariah sebagaimana yang dibincangkan.

Kecenderungan untuk berkongsi menyebarkan maklumat yang tidak diketahui sumbernya sememangnya boleh menjerumuskan kita kepada dosa atau maksiat fitnah.

Dosa fitnah yang kita sebarkan ini pula akan berterusan selama mana perkara tersebut terus tersebar walaupun kita telah meninggal dunia, kesan dari apa yang kita buat yang diikuti dan dipercayai oleh orang lain.

Moga-moga kita semua dijauhkan daripada menjadi muflis di akhirat lantaran tingkah dan olah kita sendiri.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
-sinarharian-

Tiada ulasan: