"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Biar kami hidup merempat’

‘Biar kami hidup merempat’
Kelihatan pasangan suami isteri berkenaan melepaskan penat menumpang tidur di sebuah surau di pekan Tampin.
TAMPIN: Tidur atas lantai beranda surau tanpa sebarang alas, itulah yang dilalui setiap hari oleh sepasang suami-isteri di pekan Tampin, di sini.

Seawal jam 5 pagi pula, mereka akan berlegar-legar di Taman Rekreasi Tampin sehingga lewat malam.

Tiada pendapatan tetap, sebaliknya bergantung pada bantuan bulanan RM140 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi punca mereka terpaksa menumpang tidur di surau.
Sinar Harian cuba mendekati isi hati pasangan berkenaan untuk mengetahui kisah sebenar sehingga mereka berkeadaan begitu.

Menurut si isteri yang mahu dikenali sebagai Nurul, 47, mereka terpaksa melalui rutin seperti itu kira-kira dua minggu lalu.

‘Biar kami hidup merempat’Malah, katanya, dia hampir mengalami tekanan perasaan kerana tiada kediaman tetap.
“Kami terpaksa tidur di beranda surau. Itu pun waktu tengah malam, bila orang dah tak ada. Bangun pula jam 5 pagi sebab tak mahu ada orang marah kami.

“Apa lagi yang kami boleh buat, kami tak ada tempat tinggal. Keluarga pun dah tak mahu kami tinggal bersama mereka,” katanya ketika ditemui di pekan Tampin, semalam.

Nurul berkata, mereka membawa bersama beberapa helai pakaian, dokumen penting dan beg yang dijadikan bantal ketika tidur, sementara menumpang tandas awam untuk mandi sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, sebelum suaminya yang berusia 56 tahun diserang strok setengah badan, suaminya pernah berniaga kecil-kecilan menjual capal sebagai sumber pendapatan.

“Kami sudah tiga tahun berkahwin dan saya tak sanggup tinggalkan suami macam ini. Bahagian badan kanan suami saya juga sering kejang.

“Saya bimbang nasib kami terutama suami, sebab kami tak ada rumah. Pernah juga saya tanya JKM sama ada kami boleh dapat tempat tinggal, tapi mereka suruh kami duduk di rumah kebajikan berlainan.

“Tapi saya tak mahu berpisah dengan suami.  Jadi, saya fikir biarlah kami merempat seperti ini daripada berpisah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Restoran Santapan Impian, Mohd Shahri Mohamad, 32, berkata, kira-kira dua minggu lalu, pasangan suami isteri itu ada bertanya kepadanya untuk menyewa tempat tinggal.

Bagaimanapun, katanya, nasib tidak menyebelahi pasangan itu kerana tiada tempat tinggal kosong.

Sejak itu, katanya, dia sering melihat pasangan itu berkeliaran di pekan Tampin dan pernah terlihat mereka tidur di sebuah pondok berhampiran taman rekreasi.

“Tengah hari semalam (kelmarin) saya terkejut bila jumpa mereka menangis di belakang restoran ini. Mereka sudah dua hari tak makan dan saya pelawa mereka makan.

“Saya amat harap mereka ini dibantu lebih-lebih lagi si suami yang sakit dan terpaksa menumpang tidur di tempat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin, Mohd Zamry Abulis ketika dihubungi berkata, JKM akan menyiasat kes berkenaan dan mengambil tindakan mengikut garis panduan ditetapkan.
-sinarharian-

Tiada ulasan: