"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Islam dibunuh lepas ura-ura sembelih lembu

Seorang lelaki Islam 52 tahun meninggal dunia selepas dipukul dengan kayu dan batu-bata oleh perusuh Hindu di sebuah kampung di New Delhi, India.

Semua berlaku selepas khabar angin dia menyembelih dan memakan daging lembu, lapor The New York Times.

Kejadian berkenaan turut melibatkan anak lelaki mangsa berusia 22 tahun yang cedera parah dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital berdekatan.

“Apabila pasukan kami sampai ke tempat kejadian, orang ramai telah berapa di luar rumah mangsa. Mereka (polis) berjaya membawa mangsa ke hospital, tetapi malangnya dia tidak dapat diselamatkan,” kata superintenden Kiran S dilaporkan sebagai berkata.

Menurut polis, Mohammad Ikhlaq dan anaknya diheret keluar dari rumah dan diserang perusuh yang berjumlah sekitar 100 orang.

Khabar angin yang mengatakan keluarga berkenaan memakan daging lembu tersebar selepas muncul laporan kehilangan seekor anak lembu di kampung berkenaan.

“Pengumuman mengenai keluarga itu telah menyembelih dan memakan daging lembu dibuat di sebuah kuil. Berikutan itu perusuhan menuju ke rumah mangsa,” katanya.

Anak perempuan mangsa, Sajida mendakwa, perusuh bertindak ganas terhadap bapa dan keluarganya, selepas kuil menuduh bapanya menyembelih lembu.

“Mereka mengheret abang dan ayah saya keluar dari bilik dan memukul mereka menggunakan objek yang mereka jumpa di bawah katil. Selepas itu bapa saya dibawa keluar dari rumah dan dipukul hingga mati.

“Abang pula diheret ke halaman dan mereka menggunakan batu untuk memukulnya di kepala dan dada, dia tidak sedarkan diri.

“Mereka juga cuba mencederakan saya dan memukul nenek saya. Mereka mengancam untuk membunuh saya sekiranya saya memberitahu pihak polis,” katanya.

Majoriti masyarakat Hindu di India menganggap lembu sebagai haiwan suci dan menyembelih haiwan berkenaan tidak dibenarkan di kebanyakan tempat di negara itu.

Perbalahan terhadap penyembelihan lembu telah ditambah dengan campur tangan Parti Bharatiya Janata (BJP), parti kerajaan, yang diketuai oleh Perdana Menteri, Narendra Modi.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka menyembelih dan memakan daging lembu seperti yang didakwa oleh pihak perusuh.

“Apa yang kami ada adalah daging kambing, kami tidak pun menyembelih atau berbuat sebarang korban pada hari raya Aidiladha ini. Tidak ada ayam, apatah lagi lembu,” kata isteri Ikhlaq.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: