"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mexico bumi merbahaya buat wanita? (Gambar)

Mexico bumi merbahaya buat wanita?
Antara mangsa pembunuhan yang berlaku di Guerrero, Mexico.
GUERRERO - MEXICO. Apabila polis menemui mayat ibunya tanpa kepala, Ahilin Quinones tahu bahawa dia telah menjadi anak yatim, sepertimana anak-anak yatim yang tidak terkira banyaknya di Guerrero, Mexico.

Quinones juga tahu bahawa ibunya, Aide Nava telah menjadi salah seorang daripada mangsa culik dan bunuh sindiket dadah yang bermaharajalela di kejiranan Guerrero.

Nava merupakan calon datuk bandar kepada sebuah bandar yang terletak di kawasan pergunungan Mexico, Ahuacuotzingo.

Selepas bersumpah untuk membersihkan bandar itu dari pengaruh kartel dadah dan samseng, Nava telah diculik, dirogol, diseksa dan dipancung.

Pada 11 Mac lalu, kehilangan Nava terjawab apabila kumpulan sindiket dadah yang menculiknya membuang mayatnya di tempat terbuka.

Mayatnya ditutup dengan sehelai kain yang disembur cat yang bertulis “ini yang akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kami”.

“Polis memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat mengenal pasti mayat ibu saya tanpa kepalanya.Saya terpaksa mengecam mayat ibu saya dengan tanda lahir yang ada pada lengannya,” ujar Quinones ketika menceritakan detik hitam itu kepada sebuah portal antarabangsa.

Quinones, 19, telah kehilangan segala-galanya sejak penguasaan kartel dadah berlaku di tempat tinggalnya.

Bapanya yang memegang jawatan sebagai datuk bandar di bandar Fransisco Quiñones, telah dibunuh dengan menggunakan pistol sembilan bulan sebelum pembunuhan ke atas ibunya dilakukan.

Sementara abangnya pula dikatakan telah 'menghilangkan diri' sejak beberapa tahun dahulu, dipercayai diculik oleh kumpulan samseng dadah pada tahun 2012 yang lalu.

Dengan pembunuhan yang dilakukan ke atas ibu dan bapanya, penduduk di kawasan tersebut percaya bahawa Quinones dan kakaknya, Vanessa mungkin menjadi sasaran seterusnya bagi sindiket terbabit.

“Wanita hilang dan mati setiap hari dari tempat ini. Ibu saya hanya seorang di antara beribu-ribu mangsa yang lain,” katanya lagi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh National Citizen Femicide Observatory, seramai enam wanita dibunuh di Mexico setiap hari dan hanya satu per empat daripada 3,892 kes pembunuhan pada tahun 2013 disiasat oleh pihak berkuasa.

Secara purata, seramai 14 bagi setiap 100,000 wanita dibunuh setiap tahun di Guerrero, iaitu empat kali lebih tinggi dari negeri lain di negara tersebut.

Tahun lepas, media antarabangsa melaporkan seramai 43 orang pelajar lelaki dari Kolej Perguruan Luar Bandar Ayotzinapa hilang di Iguala, Guerrero.

Penculikan besar-besaran tersebut dilakukan oleh sekumpulan ahli kongsi gelap dan menurut laporan rasmi, kumpulan tersebut merampas beberapa buah bas yang dinaiki pelajar-pelajar tersebut.

Pelajar-pelajar itu dilaporkan merancang untuk mengadakan bantahan pada persidangan yang dipimpin oleh isteri datuk bandar Iguala.

Menurut pengasas Organisasi pertahanan perempuan, Wanita Allied for Justice, Maria Luisa Garfias berkata, statistik kehilangan dan pembunuhan wanita pada tahun ini meningkat mendadak melebihi tahun purata pada tahun sebelumnya.

“Penjenayah di negara ini tidak sekalipun cuba untuk menyembunyikan jenayah mereka lagi. Mereka seolah-olah menikmati jenayah yang mereka lakukan,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal itu.

Organisasi tersebut menganggarkansehingga setakat ini, lebih dari 600 wanita di Guerrero telah hilang pada tahun ini dan sebanyak 1,249 kes rogol telah dilaporkan pada tahun 2014.

“Wanita menjadi takut untuk melaporkan jenayah pada pihak berkuasa. Kami ada rekodkan satu kes di mana mangsa rogol melaporkan jenayah itu kepada polis namun akhirnya dilaporkan sebagai orang hilang setelah cuba mendapatkan keadilan untuk dirinya sendiri.

“Hanya kira-kira 40 peratus daripada mangsa rogol melaporkan jenayah itu dan angka sebenar mungkin diluar jangkaan kita,” katanya lagi.

Akhbar harian Guerrero, Vértice, kerap menerbitkan gambar-gambar grafik pembunuhan hari sebelumnya di halaman belakang media bacaan tersebut.

Menurut editornya, Jorge Pacheco, dia amat terkejut dengan angka kes kematian yang dilaporkan semakin meninggi, setiap hari.

“Kami bukan sahaja terkejut dengan peningkatan angka kematian wanita di negara ini, malah juga dengan cara mereka dibunuh.

“Mereka dibuang dari jambatan, digantung di lebuh raya yang sibuk, dicacatkan sebelum dibunuh dan banyak lagi. Semakin hari, semakin banyak gambar-gambar seperti ini tiba ditangan kami,” katanya.

Terdapat ramai pakar dan kumpulan hak asasi manusia melahirkan kebimbangan terhadap kes pembunuhan wanita yang berada di luar kawalan.

Isarve Cano Vargas, 19, dari bandar Tehuacan, adalah salah seorang mangsa daripada kira-kira 4,000 wanita dan gadis yang diculik dan dibunuh setiap tahun.

Anak perempuan seorang bekas ahli politik itu ditemui mati pada bulan Mei, sebulan selepas dia dilaporkan hilang.

Cano Vargas dibunuh walaupun keluarganya membayar tuntutan wang tebusan kepada penculiknya.

Pada bulan Januari, mayat seorang pelakon Carmen Yarira Noriega Esparza, 27, ditemui mereput dalam sebuah tangki air di blok pangsapuri tempat tinggalnya di bandar Mexico.

Graduan psikologi itu dilaporkan hilang hampir setahun lalu sebelum dia ditemui pada Februari 2014.

Satu lagi kes kematian melibatkan Datuk Bandar Tiquicheo, Maria Santos Gorrostieta, yang diserang ketika menghantar anaknya ke sekolah.

Gorrostieta telah diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata mayatnya ditemui diikat dengan kesan tikaman,dibakar, dan diseksa di tepi jalan di San Juan Tararameo.

Gorrostieta sebelum ini dilaporkan telah terselamat dari dua percubaan bunuh.

Seorang pelajar sekolah tinggi, Lupita Perez Montes, 17, yang dilihat kali terakhir pada 31 Januari adalah antara 18 gadis muda yang dilapor hilang dari bandar utara Ciudad Juarez dalam tempoh lebih setahun.

Dalam kes melibatkan orang hilang, seorang guru sekolah rendah, Noé Velasquez telah membuat pinjaman sebanyak £ 12,000 (RM79445.59) iaitu lebih tiga kali gaji tahunannya untuk membayar wang tebusan anak perempuannya awal tahun ini.

Anak perempuannya, Jimena Vasquez, yang berusia 18 tahun, hilang pada Mac selepas bertemu seorang lelaki yang dikenali menerusi perbualan dalam talian.

Walaupun dia memberikan wang tebusan penuh kepada penculik, anak perempuannya tidak pernah kembali.

Jimena Velasquez kekal dalam senarai hilang Guerrero negeri.“Saya ada hutang yang banyak, tapi saya akan membayar sepuluh kali ganda jika anak perempuan saya dikembalikan dengan selamat,” katanya.

Maria Velez, 15, dilaporkan hilang di Chilpancingo pada tahun 2010 selepas masuk ke dalam sebuah kereta hitam yang tidak dikenali di luar sekolah.

Insiden tersebut merupakan tragedi hitam kali kedua buat ibunya, Lilia Juare apabila pasangannya, Jesus Moreno hilang pada tahun 2008 dalam modus operandi yang sama.

“Orang-orang yang saya sayang telah diambil dari saya. Saya tidak boleh tahu jika mereka masih hidup atau mati. Hidup saya macam dalam neraka,” katanya.
Guerrero adalah negeri yang sangat penting bagi industri kartel dadah di negara tersebut.

Guerrero adalah kawasan penanaman ganja dan candu popi yang sangat subur.

Menurut laporan, kira-kira 41 hektar ladang-ladang candu popi diusahakan mengelilingi bandar Guerrero.
-sinarharian-

Tiada ulasan: