"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM dedahkan siasat individu paling berkuasa di Malaysia

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaffar mendedahkan agensi itu kini sedang melakukan siasatan terhadap individu paling berkuasa dalam negara.

Zakaria yang secara rasminya bersara hari ini berkata, siasatan SPRM merujuk kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

SRC International merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Manakala skandal derma RM2.6 bilion didedahkan dalam laporan The Wall Street Journal (WSJ) di mana ianya disalurkan dalam akaun peribadi Najib.

"Sepanjang saya berkhidmat di BPR dan SPRM, saya tidak pernah terfikir dan terlintas pada diri saya yang SPRM akan menghadapi cabaran terbesar dan paling hebat seperti yang dilalui sekarang," katanya merujuk kepada Badan Pencegah Rasuah.

"Semua sedia maklum SPRM sedang menjalankan siasatan paling besar sejak 1967. Oleh itu pegawai- pegawai yang terlibat dalam siasatan kes ini harus diberi sokongan dan suntikan semangat kepahlawanan untuk berjuang di medan yang paling sukar ini.

"Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara," katanya ketika berucap dalam majlis persaraannya di Akademi SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai 'serangan' yang diterima SPRM, menyaksikan 7 pegawainya disiasat dan arahan pertukaran ke Jabatan Pedana Menteri yang diberikan kepada 2 pengarah kanannya pada Ogos lalu.

"Peristiwa ini sepatutnya tidak berlaku sama sekali," katanya.

Justeru, beliau menyeru pegawai yang terlibat menyiasat kes SRC International dan RM2.6 bilion untuk menjalankan tugas tanpa gentar.

"Saya yakin pegawai yang terlibat dalam kes semasa, melibatkan personaliti tinggi dan mendapat perhatian antarabangsa, akan menjalankan tugas tanpa gentar.

"Berdasarkan kepada tradisi, siasatan tetap perlu dijalankan meskipun kita difahamkan ada saksi hilang, lari atau dilarikan," katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: