Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah sekali lagi menawarkan hubungan kerjasama Umno bagi membentuk hubungan rapat dengan PAS dengan memetik ayat al-Quran tentang kepentingan perpaduan.
Najib ketika berucap sebelum merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 hari ini berkata Islam menggalakkan perpaduan dan mengingatkan bahaya terlibat dalam perbalahan.
"Islam menganjurkan betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan ummah dan sebaliknya, betapa bahayanya apabila kita umat Islam terjebak dalam kancah perbalahan.
"Al-Quran dengan jelas menggariskan prinsip-prinsip perpaduan. Seperti ayat 103 surah ali-Imran menyatakan kita harus berpegang teguh kepada tali Allah," katanya.
Najib berkata, ini bermakna bahawa ia bukan satu pilihan tetapi adalah wajib untuk semua umat Islam untuk mematuhinya.
"Berpegang kepada tali Allah, bukan berpegang kepada tali lain, tali manusia ataupun tali-tali biasa tetapi tali Allah.
"Janganlah kamu semua berpecah-belah, maknanya melarang kita daripada berpecah-belah
"Oleh itu, saya yang mewakili kabilah saya (Umno) dan Tuan Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang mewakili kabilahnya, mari kita berpegang kepada ayat ini.
"Ini bukan pilihan, ini wajib. Bila mana Allah perintah, hukumnya adalah wajib," katanya.
Minggu lalu, Najib juga menghulurkan salam perdamaian kepada PAS semasa Perhimpunan Agung Umno.
Sementara itu, Najib juga melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia tidak akan menjadi seperti negara-negara di Asia Barat, di mana umat Islam berperang sesama mereka.
“Insya Allah, Malaysia tidak akan terjebak seperti negara-negara itu, sungguh pun Islam mewajibkan perpaduan, serta sikap saling tolong menolong ataupun ta’awwun.
“Islam juga meraikan perbezaan pandangan, apatah lagi jika berkait dengan urusan dunia. Perpaduan itu sangat penting untuk umat, persoalan yang lebih kritikal adalah bagaimana untuk membina perpaduan itu,” katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan