"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah :Apabila YB menjauhkan diri

MOHD. RAFIE AZIMI
SEPANJANG kemelut Menteri Besar di negeri ini sejak 20 Januari lalu, gelagat para Exco serta kelibat Yang Berhormat atau YB yang ‘melarikan diri’ setiap kali cuba dirapati oleh media adalah antara perkara yang menarik untuk diperhatikan.

Penggunaan jawapan, “No comment!” seakan-akan sudah menjadi satu ‘ayat wajib’ yang meluncur dari mulut para YB sepanjang krisis walaupun hubungan wartawan dengan Exco terbabit sebelum ini boleh diibaratkan macam isi de­ngan kuku.

Kebanyakan mereka yang sebelum ini mesra media juga mula berubah sikap dan menjauhkan diri serta sedaya-upaya mengelak ‘bertembung’ dengan pemberita sehinggakan ada yang enggan menerima panggilan telefon.

Antara insiden melucukan ketika Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Wa­risan, Kerja Raya, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid mengelak daripada menjawab soalan wartawan ketika bertemu secara berdepan.

“Ya nak tanya apa? Macam mana dengan perniagaan kita Tan Sri?” katanya kepada kumpul­an wakil media yang menantinya di muka pintu Balai Penghadapan Istana Anak Bukit setelah selesai istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, kelmarin.

Beliau kemudiannya mula ‘merapu’ dan berjenaka dengan bertanyakan semula pelbagai soalan kepada seorang wartawan yang baru bertugas di Alor Setar, sambil mengucapkan “I Love You” berkali-kali selain bercakap dalam dialek Siam ketika berjalan keluar dari lobi balai penghadapan tersebut menyebabkan wakil-wakil media akhirnya mengalah.

Begitu juga dengan seorang lagi Exco yang sebelum ini tidak bermasalah untuk menjawab sebarang pertanyaan media iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob.

Buat kali kedua dalam tempoh seminggu ini, beliau tidak kekok untuk berlari di atas lantai licin di lobi balai penghadapan istana biarpun mengenakan kasut bertumit sambil beberapa kali menyatakan “tak nak komen” seraya tersenyum.

Bagaimanapun berbanding mereka berdua, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Datuk Tajul Urus Mat Zain serta Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Datuk Dr. Leong Yong Kong tampak tenang menjawab soalan wartawan.

Bagaimanapun beberapa Exco lain seperti Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, Datuk Norsabrina Mohd. Noor, Datuk Badrol Hisham Hashim serta Datuk Aminuddin Omar dipercayai keluar menggunakan pintu belakang balai peng­hadapan menyebabkan ada antara mereka gagal dikejar wartawan.

Sesuatu yang pasti kebanyakan Exco berkenaan seakan-akan mahu hilang daripada radar para wartawan yang saban hari sabar menanti malah ada kalanya terpaksa mengejar YB berkenaan ke mana sahaja mereka berada semata-mata untuk mendapatkan reaksi terkini berhubung isu yang cukup hangat sekarang ini.

Di sebalik layanan ‘kurang mesra’ itu, demi tugasan yang diberikan tiada keluhan daripada wartawan berkenaan apatah lagi untuk mengaku kalah semata-mata untuk mendapatkan berita terkini dari negeri Jelapang Padi ini~U/M

Tiada ulasan: