LONDON: Sebuah syarikat elektronik India melancarkan telefon pintar yang paling murah di dunia, hanya berharga 251 rupee (RM15).
Berjenama "Freedom 251," telefon pintar yang dihasilkan Ringing Bells dilancarkan semalam dan akan membawa "revolusi kepada industri," kata jurucakapnya kepada AFP.
Dengan harga semurah secawan kopi hipster, Freedom 251 menampilkan spesifikasi setanding - sistem operasi Android Lillipop 5.1 dengan kuasa 1.3 GHZ, lapor portal The Independent di sini.
Ia juga mempunyai skrin lebar 4 inci, RAM 1GB, 8GB memori dalaman (boleh dibesarkan sehingga 32GB) dan 3.2 megapiksel kamera depan.
Penggunanya boleh mengakses semua aplikasi Google Play Store, walaupun sesetengahnya mungkin akan mengurangkan jumlah simpanan telefon tersebut.
Turut ditawarkan beberapa perisian seperti aplikasi pertanian dan memancing, yang direka untuk memenuhi sasaran pengguna.
Telefon pintar murah, kebanyakannya buatan China, sudah lama berada di pasaran India tetapi model paling murah biasanya berharga antara RM89 hingga RM119, lapor portal itu lagi.
Tidak dapat dipastikan bagaimana Ringing Bells dapat mengeluarkan produk sebegitu murah. Difahamkan kerajaan India memberi subsidi kepada syarikat itu tetapi ia tidak pernah diumumkan.
Freedom 251 boleh didapati melalui Internet dan juga di 650 pengedar seluruh India bermula semalam. Menurut laman web rasminya, pengiriman telefon akan dibuat akhir Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan