"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video: Eskalator di pusat beli-belah tiba-tiba berundur dengan laju


HONG KONG – Sebuah eskalator di pusat beli-belah Mong Kok di sini tiba-tiba berundur dengan laju, menyebabkan 18 pengunjung cedera, petang Sabtu.

Rakaman video yang dirakamkan oleh saksi menunjukkan eskalator berukuran 45 meter yang menghubungkan tingkat empat dan tingkat lapan Langham Place di Argyle Street itu tiba-tiba bertukar arah tanpa sebarang amaran dan bergerak laju.

Kejadian itu menyebabkan pengunjung yang sedang menaiki eskaltor tersebut terkejut dan tidak dapat mengimbangi badan mereka sebelum terjatuh ke bawah beramai-ramai.

Dalam satu lagi video, kedengaran orang ramai menjerit ketika melihat ramai pengunjung terjatuh dari eskalator terpanjang di Hong Kong itu.

Saksi mengesahkan 14 wanita dan empat lelaki cedera akibat tidak dapat mengimbangi badan dan jatuh tergolek dari eskalator.

Jurucakap polis berkata, seorang lelaki mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth.

Keadaannya masih serius pada malam Sabtu dan selebihnya berada dalam keadaan stabil.

Langham Place adalah projek pembaharuan bandar Hong Kong bernilai $11 bilion yang disiapkan pada tahun 2004.

“Kelajuannya adalah dua kali lebih cepat dari biasa,” kata seorang wanita yang cedera di bahagian kaki dalam kemalangan itu.

Seorang lagi saksi berkata dia dapat melihat eskalator bergerak lebih laju dalam insiden itu yang berlaku kurang dari satu minit.

“Saya dengar orang menjerit … eskalator yang sedang ke tingkat atas tiba-tiba berundur tetapi dengan lebih laju,” kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Tina.

Dia juga juga mengimbas bagaimana eskalator yang sama telah berhenti untuk beberapa minit pada awal hari sebelum insiden ini berlaku.

Seorang pengunjung, Lau Kit-ying, yang berada di kedai burger berhampiran dan menyaksikan huru-hara itu berkata eskalator itu bergerak dua atau tiga kali lebih cepat dari biasa.

“Ia berlaku secara tiba-tiba dan pantas sehingga tiada siapa boleh bertindak balas,” katanya.

Katanya, dia juga melihat seorang lelaki mengalami pendarahan.

“Tetapi kebanyakan yang cedera adalah orang muda dan mereka terus bangun apabila terjatuh. Saya lega kerana ia tidak melibatkan orang tua.

Pengurus kafe pencuci mulut yang berdekatan, Judy Chu berkata dalam suasana panik itu, ada yang cuba cuba berlari ke atas dan ada juga yang melompat ke eskalator sebelah.
-kualalumpurpost

Tiada ulasan: