"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sah ‘tsunami rakyat’ tumbangkan BN, undi popular merudum di pusat, negeri

HUSIN MAHAT
Kajian awal keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mendapati undi popular diperolehi BN di seluruh negara merosot teruk membuktikan gabungan politik berusia lebih enam dekad itu tewas akibat ‘tsunami rakyat’.

Di peringkat nasional, undi popular diperolehi BN merosot daripada 46.7% pada PRU13 kepada 33.9% pada PRU14; kemerosotan 12.8%.

Di masa yang sama undi popular diperolehi Pakatan Harapan pada PRU14 adalah 48.3% manakala Pas mencatat 16.6%.

Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, DAP dan Pas pada PRU13 memperolehi 50.1% undi popular pada PRU13 namun gagal membentuk kerajaan persekutuan ekoran sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sistem pilihan raya negara yang memberi kelebihan kepada BN berdasarkan perolehan kerusi calon-calon parti yang bertanding.

Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan medianya juga mendedahkan undi popular diperolehi BN di negeri-negeri juga merosot teruk.

“Peralihan sokongan melawan BN berlaku di Kedah apabila sokongan terhadap BN merosot 19.8% daripada 49.8% pada PRU13 kepada 30% dalam PRU 2018.

“Peralihan sokongan dua angka terhadap BN juga dialami di Selangor, Johor, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Wilayah Persekutuan (KL dan Putrajaya), Perak dan Terengganu,” katanya.

Malah tambah beliau, di Sarawak satu-satunya negeri dimenangi BN dengan 52.7% undi popular, menyaksikan kemerosotan 5.5% berbanding 58.2% pada PRU13.

Menurut beliau, terdapat bukti yang jelas bahawa pengundi polis dan tentera juga ‘mengabaikan BN’ dengan angka yang signifikan.

Dr Ong turut menolak pandangan sesetengah penganalisis yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan majoriti pengundi dengan menggabungkan jumlah undi diperolehi BN dan Pas (50.5%).

Keputusan PRU14 katanya pada keseluruhan menunjukkan penentangan terhadap BN apabila 65% pengundi menolak BN dengan mengundi parti-parti selain BN.

“Hampir 2/3 pengundi di negara ini mengundi menolak BN kerana mereka benar-benar mahu melucutkan kekuasaan BN di peringkat persekutuan dan negeri.

Tiada ulasan: