"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa pendedahan rakaman suara oleh SPRM wajar?

FAIZ FADZIL
Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya mendedahkan rakaman perbualan telefon beberapa bekas pemimpin negara berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah wajar.

Hal ini kerana skandal berskala mega tersebut bukan kes jenayah persendirian tetapi kes jenayah awam yang melibatkan kehilangan wang negara hampir RM42 bilion.

Setakat hari ini, nama-nama yang didakwa dikaitkan dalam rakaman tersebut termasuk Najib Razak, Rosmah Mansor, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum menafikan kesahihan rakaman tersebut.

Apabila bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan nama Najib Razak pada 26 Januari 2016 daripada sebarang kesalahan membabitkan skandal 1MDB, ramai pihak yang marah.

Kemarahan itu membuak sehingga mengundang demontrasi jalanan dan sebagainya sehingga tumbangnya rejim BN yang mentadbir negara lebih 60 tahun.

Ketika itu, Najib Razak berani mempertahankan diri sehingga menuduh dakwaan yang dibuat terhadapnya terutama oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dalam saman di mahkamah AS adalah fitnah.

Walaupun, majoriti rakyat percaya Najib Razak menyeleweng wang negara melalui skandal 1MDB, tetapi ada juga seksyen yang tidak percaya atau mengambil pendirian ragu-ragu.

Persoalan yang bermain selama ini, adakah wujud campur tangan Najib selaku perdana menteri dalam siasatan sebelum ini oleh pihak SPRM?

Apabila Najib berjaya membersihkan namanya, SPRM seolah-olah ditekan Najib apabila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed diganti dengan Dzulkifli pada 1 Ogos 2016, pertukaran pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sebagainya.

Maka, dengan pendedahan SPRM pada 8 Januari lalu, ianya menunjukkan bahawa apa yang didakwa terhadap Najib boleh dianggap benar dan SPRM dapat membersihkan nama mereka bahawa siasatan yang mereka jalankan sebelum ini adalah benar, telus dan adil.

Oleh itu, SPRM berhak untuk mendedahkan rakaman tersebut kerana wujud elemen jenayah salahguna kuasa, menghalang keadilan dan kebocoran rahsia di peringkat tertinggi pentadbiran negara sehingga menghancurkan keluhuran undang-undang sebelum ini.

Saya percaya bukti ini akan disiasat oleh pihak berkuasa terutama polis memandangkan bukti ini adalah bukti terbaru yang ditemui.

Ia sama sekali bukan bukti yang diperlukan dalam kes 1MDB yang dihadapi Najib sekarang, sebaliknya adalah bukti wujudnya salahguna kuasa, menghalang keadilan dan kebocoran rahsia.

Rakyat berhak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dalam kes 1MDB kerana hutang yang dibuat Najib perlu ditanggung rakyat selama puluhan tahun.

Pendedahan tersebut bukan satu hukuman tetapi kepentingan kes 1MDB kepada kehidupan rakyat perlu diketahui.

Harus diingat kata-kata Peguam Negara AS, Jeff Sessions bahawa 1MDB adalah kleptokrasi terburuk.

Tidak seharusnya, kecurangan pentadbiran Najib sebelum ini dikenang oleh rakyat. Pendedahan ini juga sebagai satu langkah deterrent atau pencegahan kepada mana-mana pihak terutama penjawat awam supaya menjalankan tugas untuk negara dan rakyat.

Mereka tidak harus membelakangkan undang-undang sehingga bertindak melindungi jenayah sepertimana yang didakwa dilakukan Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

*Penulis merupakan seorang peguam juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.

Tiada ulasan: