"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan SPRM hampir sama dengan DoJ

ARIF ATAN
Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sedutan rakaman perbualan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi hampir sama dengan apa dilakukan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka, Jamzuri Ardani berpendapat, DoJ dan Peguam Negara AS Loretta Lynch sebelum ini pernah mengemukakan saman sivil menyita aset 1Malaysian Development Berhad (1MDB) bernilai AS$ 1 bilion.

“Saya melihat apa yang dilakukan oleh SPRM hampir sama dengan tindakan yang dibuat oleh Department Of Justice (DoJ), Amerika Syarikat di dalam mendedahkan salahlaku kleptokrasi MO1 (Malaysia Official 1) dan konco-konconya pada 2016.

“Ianya kontroversi tetapi secara keseluruhannya yang mendapat manfaatnya ialah rakyat. Rakyat mendapat maklumat yang benar tentang apa yang berlaku tentang salahlaku pemimpin yang berkuasa.

“Kecualilah sekiranya ada rakyat yang membenci kebenaran dan menyokong pembohongan,” katanya mengulas sidang media khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berhubung dakwaan wujudnya konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Semalam, Latheefa berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman tersebut menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti dan ancaman keselamatan negara.

Mengulas lanjut tentang persoalan etika yang dibangkitkan pihak tertentu, Jamzuri berkata, hal tersebut adalah subjektif dan bergantung kepada pelbagai pandangan.

“Negara ditadbir secara perundangan. Sekiranya tindakan SPRM itu dilihat bercanggah dengan undang-undang, pihak-pihak berkepentingan boleh ambil tindakan secara perundangan ke atas SPRM.

“Tiada halangan ke atas mana-mana pihak untuk mengambil tindakan perundangan. Menuduh SPRM tanpa berani mengambil tindakan undang-undang ke atas SPRM juga adalah perbuatan tidak beretika,” dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka itu berpendapat laporan polis perlu dibuat ke atas Najib Razak dan bekas Pengarah SPRM.

“Jelas terdapat unsur-unsur jenayah dan salahguna kuasa,” kata Jamzuri lagi.

Tiada ulasan: