"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad nafi wujud perpecahan dikalangan pemimpin AMANAH

MALAYSIA DATELINE

Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan wujudnya perbezaan atau perpecahan dalam kalangan pemimpin parti itu susulan situasi yang berlaku di Dewan Rakyat semasa pengundian Belanjawan 2021 di peringkat dasar Khamis lalu.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, situasi yang mencabar itu boleh digambarkan melalui pepatah Melayu “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Hakikatnya, kata beliau, semua pimpinan AMANAH menolak belanjawan yang telah dibentangkan cuma perbezaannya adalah sama ada melakukan belah bahagi atau tidak namun perbezaan ini hanya timbul pada saat terakhir hasil cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Ekoran itu, telah menghasilkan tindakan berbeza yang pada hakikatnya kedua-duanya betul.

“Kita tidak berpeluang untuk berbincang dan berbahas untuk menentukan mana satu di antara dua pilihan betul ini adalah yang lebih betul.

“Namun kita yakin kedua-dua kumpulan telah bertindak mengikut pertimbang mereka masing-masing dengan mengharapkan yang terbaik bagi AMANAH dan PH.

AMANAH memahami ramai kecewa dengan apa yang telah berlaku, namun kekecewaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya ianya menggugat kesatuan dan perpaduan dalam AMANAH serta antara AMANAH dan PH.

“Ianya sewajarnya dijadikan sebagai pengajaran untuk kita terus maju ke hadapan, bersama dalam keadaan yang bertambah kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, apa yang berlaku pada 26 November tidak menjejaskan langsung komitmen AMANAH untuk menolak kerajaan Perikatan Nasional bawah Tan Sri Muhyiddin Yaasin tetap dianggap sebagai kerajaan pintu belakang yang tidak memiliki mandat sah dari rakyat.

Beliau berkata demikian susulan insiden terbabit telah mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum dan juga ahli-ahli AMANAH berhubung dengan apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat.

Tambahnya, suasana itu kelihatan seolah-olah ada perbezaan dan perbalahan di antara pimpinan AMANAH apabila sebahagian duduk dan sebahagian yang lain bangun meminta undi belah bahagi dilakukan.

“Keadaan yang mengelirukan terhasil apabila keputusan berubah di saat terakhir tanpa perbincangan dan penjelasan kepada semua Ahli Parlimen PH.

“Ini menyebabkan sebahagian Ahli Parlimen AMANAH terus berpegang kepada keputusan asal, yang dianggap keputusan yang rasmi memandangkan ianya telah dibahas dan diputuskan bersama dalam mesyuarat Majlis Presiden,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya sebahagian yang lain termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, berpegang kepada keputusan baharu kerana ingin menjamin keutuhan dan kesatuan PH.

Pimpinan Nasional AMANAH sentiasa menegaskan bahawa keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat penting untuk diusaha dan dipertahankan setiap pemimpin.

Oleh itu, tambahnya, keputusan untuk menjamin keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan dengan akur kepada keputusan Pengerusi PH pada hari tersebut adalah selari dengan kehendak parti.

Pada masa yang sama, sebahagian pimpinan lain, iaitu seramai 6 Ahli Parlimen, yang bangun meminta belah bahagi juga turut berusaha memenuhi kehendak parti AMANAH dan keputusan Majlis Presiden PH.

“Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar segala keputusan yang telah dan bakal dibuat mendapat bimbingan Nya dan akan menambahbaik parti sambil mengukuhkan lagi kedudukan PH.

“Kita merapatkan saff dan membaharui iltizam untuk membawa kemenangan dan kebaikan bagi AMANAH dan PH,” tambah beliau.

Tiada ulasan: