"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musuh Islam, kafir harbi dan teks khutbah

TAUFEK YAHYA

“Marilah kita bersama-sama merebut peluang (beribadah di bulan Ramadan) ini dengan mempertingkatkan amal ibadah serta mengukuhkan penyatuan umat Islam khususnya dalam politik. Semoga kita dapat mengekalkan kuasa pemerintahan negeri dan negara ini di bawah pemerintahan Melayu Islam dan Raja Berperlembagaan. Ingatlah pengajaran yang berlaku sebelum ini, bangsa dan agama kita dihina kerana kuasa pemerintahan berada di bawah musuh Islam …”

Petikan teks di atas bukanlah ucapan politik pemimpin Umno dan Pas menjelang Ramadan. Ia juga tidak diucapkan di program-program parti di mana-mana himpunan politik dalam negara ini. Apa yang memeranjatkan, perenggan ucapan di atas dipetik daripada teks khutbah sebuah negeri di Semenanjung yang ditadbir BN.

Negeri itu satu-satunya negeri yang kekal ditadbir Perikatan/BN sejak sebelum merdeka (1955-sekarang). Negeri majoriti Melayu itu juga punya seorang mufti yang cenderung berpolitik. Kecenderungan politiknya amat menyerlah sehingga ke peringkat melabelkan DAP sebagai ‘kafir harbi’ – gelaran yang hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang memusuhi negara Islam.

Ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi (al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms 888-908) menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia.

Sementara semua negara bukan dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah dar al-‘Ahd (negara yang mempunyai perjanjian damai dengan negara Islam) termasuklah Amerika.

Satu-satunya negara yang dikategori sebagai dar al-Harb (negara musuh Islam) pada masa ini adalah Israel disebabkan permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam.

Warga bukan Islam yang hidup dalam masyarakat Muslim ataupun bawah dar al-Islam (negara Islam) dengan taraf kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah (zimmi). Sehubungan itu, tidak ada rakyat negara ini yang layak dipanggil ‘kafir harbi’ mengikut pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradawi. Maka pastinya pandangan mufti itu yang secara semberono menggelarkan ahli parti DAP sebagai ‘kafir harbi’ tertolak apatah lagi DAP juga punyai ahli dan pemimpin beragama Islam.

Kita tinggalkan dulu soal kafir harbi dan teks khutbah Jumaat di atas.

Bernama pada 17 April lalu melaporkan bahawa lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian. Video lakonan pelakon Melayu-Islam itu tular di media sosial sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Semua individu yang ditahan dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah.

“Semua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Semua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurut Acryl, pihaknya juga maklum dengan penyebaran sebuah lagi video bertemakan Hari Raya yang turut mempromosikan perjudian dalam talian.

Syabas diucapkan kepada pihak polis kerana pantas membanteras aktiviti tersebut apatah lagi apabila ianya menyentuh sensitiviti umat Islam.

Pastinya kita tidak wajar menyalahkan kerajaan dalam insiden ini walaupun jumlah cabutan khas nombor ramalan (judi) telah ditambah dari lapan kepada 22 di era pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Namun itulah yang berlaku di era 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Banyak isu-isu sensitif membabitkan kaum dan agama dijadikan modal untuk memburuk-burukkan kerajaan. Malah isu seorang transgender yang menunaikan umrah dengan berpakaian wanita (bertelekung) dibebankan kepada menteri agama ketika itu.

Naratif kononnya kerajaan PH dikuasai ‘bukan Islam’ terus dimainkan tanpa jemu walaupun jawatan-jawatan penting kerajaan dan majoriti anggota kabinet adalah Muslim.

Prinsip kebebasan bersuara yang dilaksanakan PH diambil kesempatan oleh golongan desperado ini untuk menggerakkan kempen ‘Islam terancam’ sehingga masjid dan surau juga dijadikan platform bagi menyebarkan kebencian kepada kerajaan.

Bagaimanapun naratif ‘Islam terancam’ itu terus reda dan padam apabila kerajaan bertukar tangan. Tiada lagi kedengaran suara-suara lantang ‘mempertahankan agama dan bangsa’ walaupun isu-isu sensitif yang berlaku di era pentadbiran PH dahulu semakin hebat berlaku di era PN. Ambil sahaja contoh industri judi dan arak yang semakin subur sekarang. Hudud yang dahulunya dijadikan modal politik kini menjadi sesuatu yang tabu (taboo) untuk disebut sehingga dianggap ‘bisikan syaitan’.

Banyak lagi isu membabitkan kaum dan agama yang 22 bulan dahulu didendangkan kini menjadi sepi seribu bahasa. Puncanya kerana kelompok yang dahulunya menjadi teraju utama pembakar sentimen agama dan bangsa sudah menjadi ahli kerajaan dan bercakap dengan bahasa ‘pemimpin kerajaan’.

Sehubungan itu, apakah rasionalnya bagi penulis teks khutbah di atas untuk menggelarkan kerajaan terdahulu sebagai ‘musuh Islam’ sedangkan keadaan dan isu yang wujud sekarang lebih teruk berbanding dahulu? Adakah hanya kerana DAP berada dalam kerajaan, maka kerajaan itu dianggap sebagai ‘musuh Islam’ sedangkan banyak parti-parti majoriti bukan Islam juga menganggotai BN dan PN yang kini membentuk kerajaan.

Institusi masjid dan surau perlu dijadikan platform untuk menyatukan ummah, bukan dijadikan medan pemecah belah masyarakat akibat agenda politik kepartian. Peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Persekutuan dan negeri perlu dihormati. Titah baginda Raja-raja Melayu agar masjid dan surau bebas dari pengaruh politik kepartian perlu dihormati bukan sahaja oleh rakyat, malah oleh kakitangan majlis dan jabatan agama termasuk yang bertanggung jawab dalam penyediaan teks khutbah.

Jalankan tugas dengan amanah, berintegriti dan bertanggung jawab. Jangan bersifat seperti peribahasa Melayu, “pepat di luar, rencong di dalam”.

Tiada ulasan: