"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persoalannya, siapa calon PM BN? Tok Mat atau Ismail Sabri?

BAHA M. ISA

Adakah Umno pasca-PAU (Perhimpunan Agung Umno) 2020 sudah bersedia menghadapi PRU-15? Jika benar, siapakah calon perdana menteri (PM) bagi Barisan Nasional (BN)?

Ini terutama selepas kesepakatan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Perikatan Nasional (PN) pula memiliki Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Perdana Menteri. Kepimpinan Muhyiddin dilihat akan menjadi sandaran gabungan PN.

Jadi, persoalan siapa calon PM yang ditawarkan BN untuk PRU-15 perlu dijawab segera sebelum menjelang PRU-15.

Isu siapa calon PM dari BN juga pernah disebut oleh parti komponennya iaitu MIC sebelum ini. Ia dikatakan salah satu masalah yang perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian pada PRU akan datang.

Para penganalisis politik turut berpendapat, sudah tiba masa BN mengumumkan calon PM gabungan itu atau setidak-tidaknya dimaklumkan kepada parti-parti komponennya, lapor Malaysiakini baru-baru ini.

Antara calon PM yang dikatakan sesuai bagi mewakili parti tersebut ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas pemerhati politik, Arif Anwar Lokmanol Hakim, prestasi Mohamad ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dijadikan contoh kerana bersih dan sudah tentu membawa faktor wow kepada rakyat di situ.

Senada dengan Arif, penganalisis politik Dr. Rusdi Omar turut menyifatkan pencalonan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat dapat membaiki imej BN.

Baru-baru ini di PAU, Mohamad menjawab soalan mengenai calon PM UMNO jika menang PRU-15. “Err… kamu sedang bercakap dengan dia sekarang,” kata Mohamad bergurau.

Pencabar terdekat Mohamad Hasan yang dilihat ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau merupakan salah seorang Menteri Kanan dalam Kerajaan PN ketika ini.

Sehubungan itu, Umno dan BN perlu mencontohi kesepakatan PH dalam mengetengahkan calon PM.

Para penyokong BN perlu tahu siapa tokoh sandaran gabungan itu untuk diangkat memegang jawatan pemimpin utama kerajaan Malaysia itu.

Biar rakyat dan para penyokong tahu, yang BN sebagai sebuah gabungan politik, mempunyai kesepakatan dalam menawarkan seorang tokoh sebagai pemimpin negara jika menang PRU-15.

Tiada ulasan: