"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Kelantan kena 'scam' hampir RM85,000

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri ini mengalami kerugian RM84,529 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, kelmarin.

Mangsa berusia 50-an hanya menyedari ditipu pagi semalam sebaik hadir ke Bank Islam dan Bank Muamalat untuk menyemak baki akaun selain membuat kad bank yang baharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa sebelum itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki.

Menurutnya, suspek mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sambil memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM52,900.

Katanya, ia membabitkan cukai terkumpul disebabkan kemasukan wang tunai RM200,000 kepada akaun syarikat didakwa milik mangsa, namun perkara itu dinafikan oleh Adun terbabit.

"Susulan itu, suspek menyuruh mangsa membuat laporan polis sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Adun berkenaan kemudian diminta mengesahkan segala pemindahan wang terbabit adalah tidak benar sebelum talian disambung kepada seorang wanita kononnya pegawai dari JSJK Melaka bergelar Datuk.

"Ketika perbualan berlangsung, mangsa diminta membuat pengesahan akaun miliknya dengan mengisi pautan Bank Negara yang diberikan melalui WhatsApp," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada 10.30 pagi semalam, mangsa hadir ke Bank Islam, di sini ,untuk menyemak baki akaun dan membuat kad bank baharu sebelum dimaklumkan baki akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM71,480.

"Mangsa kemudian ke Bank Muamalat untuk membuat kad bank yang baru dan dimaklumkan baki akaun bank miliknya berkurangan sebanyak RM13,049 menerusi dua transaksi pengeluaran.

"Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM84,529 dan mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu tengah hari tadi," katanya.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: