Mohd Farhan Darwis
PETALING JAYA: Bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff menafikan tuduhan beliau membuat gangguan seksual terhadap kakitangan agensi itu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani di Bintulu.
Sumber berkata dalam proses mengambil keterangan di IPD Kajang hari ini, Agus memberikan kerjasama dengan menjawab 70 soalan diajukann kepadanya.
“(Daripada soalan yang diajukan) ada dua kejadian, satu atas bot, satu lagi dalam bilik hotel, semua kejadian di Bintulu.
“Beliau beri kerjasama jawab semua soalan,” katanya kepada FMT.
Agus hadir ke IPD Kajang ditemani peguamnya Zaflee Pakwanteh sekitar pukul 11 pagi, dan kelihatan meninggalkan perkarangan balai polis tersebut kira-kira 1.15 petang.
Beliau bagaimanapun enggan ditemuramah pemberita, yang menunggu di pintu masuk balai polis tersebut sejak pagi.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.
Pada 30 Nov, Wahab ke IPD Kajang bersama peguamnya Faizal Abd Rahman untuk memberi keterangan dan membuat laporan bagi membersihkan namanya termasuk dalam kes video perbualan lucah dengan Agus.
Beliau juga mengakui tertekan dan trauma dengan apa yang berlaku dalam kes itu.
Agus dan Wahab dalam sidang media khas 17 Nov lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan