"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Pelantikan Dzulkefly beri nilai tambah ketara pada Amanah'

Malaysiakini

Dua pemimpin Pemuda Amanah berpendapat, tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membawa masuk Dzulkefly Ahmad ke dalam kabinet adalah peluang besar untuk parti itu mengukuhkan imejnya di mata masyarakat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Azhar Rahman dan Taqiuddin Cheman hari ini, mereka berkata penyertaan semula Dzulkefly dalam jemaah menteri disambut baik pelbagai pihak.

Bahkan, kata mereka, boleh dikatakan tiada sebarang komen negatif terhadap pelantikan Dzulkefly sebagai anggota kabinet.

"Pelantikan Dzulkefly sebagai menteri kesihatan sekali lagi memberikan petunjuk jelas bahawa Amanah mempunyai ramai pemimpin berkualiti untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.

"Pelantikan itu juga telah memberi impak positif dan nilai tambah besar dari aspek persepsi awam terhadap kerajaan," kata mereka kepada Malaysiakini.

Azhar merupakan Exco Pemuda Amanah Nasional, manakala Taqiuddin ialah Ketua Pemuda Amanah Johor.

Justeru kata Azhar dan Taqiuddin, Amanah mesti menggunakan kesempatan yang ada sekarang untuk mencongak langkah yang tepat agar keyakinan rakyat kepada parti itu terus diperkukuhkan.

Dzulkefly merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor yang pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan apabila PH berjaya membentuk kerajaan hasil mandat yang diterima pada PRU ke-14.

Dia dianggap bertindak dengan baik semasa berdepan dengan ancaman awal Covid-19 sebelum berlaku Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan itu tumbang pada Feb 2020.

Jawatan itu kemudian disandang pemimpin Umno, Dr Adham Baba, di bawah pentadbiran PN sebelum dia tukarkan ke kementerian lain dan digantikan pula dengan Khairy Jamaluddin.

Apabila kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU ke-15, Anwar melantik Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, sebelum digantikan oleh Dzulkefly kira-kira setahun kemudian.

Dzulkefly adalah seorang daripada anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Azhar dan Taqiuddin berkata perkembangan Amanah ketika ini menunjukkan pemuda parti itu juga perlu dibangunkan sesuai dengan mood semasa rakyat sekarang.

"Kebetulan dengan Konvensyen Nasional Pemuda Amanah esok, pegerakan pemuda wajar memastikan haluan sayap ini berada pada landasan yang betul dengan menampilkan barisan pemimpin yang tepat," kata mereka yang masing-masing menawarkan diri sebagai ketua dan timbalan ketua Pemuda Amanah.

Tiada ulasan: