"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Malaysia minta Dr Dzulkefly ketatkan semula larangan merokok

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

“Kuatkuasakan balik larangan merokok di kedai makan”, demikian antara reaksi yang diluahkan rakyat Malaysia susulan kemunculan semula Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bagi menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi pemerhatian Harapan Daily di media sosial, rata-rata pengguna gembira dengan pelantikan tersebut, mengenangkan salah satu jasa beliau yang mewujudkan pengharaman rokok di premis makanan.

Tidak dinafikan, larangan merokok di tempat awam masih lagi diteruskan namun penguatkuasaannya tidak setegas ketika Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mengetuai KKM.

Bahkan larangan merokok membabitkan semua tempat makan di seluruh negara yang dilaksanakan sejak Januari 2019 itu, dilihat semakin diabaikan oleh rakyat Malaysia berikutan tiada ketegasan berterusan dari dua kerajaan sebelum ini.

“Selamat kembali Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia! Tolong pantau balik manusia yang merokok dekat kedai makan yang tak tengok kiri, kanan, depan, belakang,” kata pengguna Facebook.

“Tahniah YB Menteri. Teruskan larangan merokok di kedai makan dan tempat awam, denda maksimum. Noktah,” kata yang lain.

“Gembira sangat semasa Dr. Zul wujudkan larangan merokok di premis makanan. Pandai pula perokok hisap rokok di tempat yang dibenarkan. Saya harap KKM pantau kedai-kedai makan di kawasan pekan sebab dah lama perhatikan kedegilan perokok-perokok fi lokasi berkenaan. Tahniah Dr Dzul!” kata Bardhussain.

Biarpun ada yang mengaitkan menteri itu dengan punca kenaikan Covid-19 empat tahun lalu, namun sebenarnya negara telah merekodkan sifar kes Covid ketika beliau meletakkan jawatan.
Hantaran lama Dr Dzulkefly ketika meletakkan jawatan pada 2020

Ketika wabak berjangkit itu sedang merebak di seluruh dunia, Malaysia pula menyaksikan sekumpulan ahli politik cuba melakukan rampasan kuasa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ sehingga menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan.

Sepanjang tempoh pergolakan politik itu, Covid-19 terus merebak dengan pantas dan menjejaskan rakyat Malaysia akibat politik tidak berkesudahan yang didalangi Perikatan Nasional (PN).

Bagai mimpi menjadi nyata, hasrat rakyat Malaysia menginginkankan Dr. Dzulkefly menjadi Menteri KKM kini menjadi kenyataan sehingga ada yang berkata ini cara yang baik untuk menamatkan 2023.

Tiada ulasan: