"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Ibrahim: Beri peluang Anwar bukti kemampuan

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuan menerajui pentadbiran negara selepas setahun dilantik mengetuai kerajaan.

Menerusi temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, rakyat wajar memberi peluang kepada Anwar kerana tidak mungkin untuknya membuat perubahan dalam tempoh setahun.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan menyokong kerajaan tetapi tidak akan berdiam jika kerajaan melakukan perkara yang tidak betul.

“Saya tidak fikir anda boleh ubah negara dalam tempoh setahun.

“Saya fikir terdapat menteri yang baik seperti Anthony Loke (Menteri Pengangkutan). Saya akan menyokong kerajaan, tetapi jika sesuatu tidak betul, saya akan memaklumkan kepada mereka,” titah baginda seperti dipetik dari akhbar itu.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana baginda mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri itu.

Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

“Beliau kadang-kalang walaupun tengah malam hubungi saya, untuk minta nasihat,” titah baginda.

Majlis Raja-Raja sebelum ini dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober bersetuju mengisytiharkan Sultan lbrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

Pelantikan baharu itu menggantikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk kepemimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.

Tiada ulasan: