Nora Mahpar
PETALING JAYA: Ketua pembangkang Hamzah Zainudin berdepan satu lagi cabaran menerajui Putrajaya apabila ada pemimpin Bersatu mencanangkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri masa depan dari Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata sebelum ini Hamzah diuar-uarkan bakal menggantikan Muhyiddin Yassin jika beliau melepaskan jawatan presiden, disokong kenyataan ‘beliau dilatih’ untuk menjadi pemimpin masa depan.
Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 24 Nov lalu, Muhyiddin mengumumkan hasrat enggan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun depan, namun membuat pusingan U keesokan harinya selepas mengambil kira pandangan ahli serta keluarganya.
“Hamzah yang sebelum ini dilihat bakal mewarisi kepimpinan akan ada sedikit cabaran, kali ini perlu bersaing dengan Samsuri yang dilihat sangat menonjol dan dicanang bakal calon PM daripada PN.
“Malah diulas sendiri oleh Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris yang menyatakan Dr Sam adalah bakal calon PM masa depan sekiranya menang (PRK Kemaman),” kata Mazlan kepada FMT.
Dalam siri kempen PRK Kemaman termasuk di media sosial, Razali berkata pengundi kawasan itu “bertuah” kerana Samsuri yang juga menteri besar Terengganu bakal menjadi perdana menteri masa depan PN jika menang pilihan raya esok.
“Sudah tentu rakyat Kemaman untung, pembangunan Kemaman untung dan ekonomi Kemaman untung andainya Dr Sam diangkat menjadi perdana menteri,” kata Razali yang juga exco Terengganu di Facebook.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN pula menyifatkan pencalonan Samsuri untuk menunjukkan mereka mempunyai ramai tokoh, sambil tidak menolak naib presiden PAS berkenaan sebagai calon perdana menteri gabungan itu.
Mazlan berkata walaupun berdepan situasi itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut tidak akan mengambil tindakan luar biasa bertanding jawatan presiden Bersatu, mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat bergantung selama mana Muhyiddin mahu menjadi ketua.
“Saya tidak nampak (Hamzah cabar Muhyiddin) sekurang-kurangnya sehingga PRU16.
“(Jika) tiada ruang (selepas itu) ada kemungkinan beliau akan mencabar dan ini bergantung kepada perkembangan masa depan,” katanya yang bagaimanapun menjangkakan Hamzah akan mewarisi kepimpinan Bersatu melalui tradisi mudah.
Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpandangan pencalonan Samsuri di PRK Kemaman bukan strategi menjadikannya calon perdana menteri sebaliknya bimbang gagal menang besar selepas Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas panglima tentera Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
“Tak pasti bagaimana boleh timbul Samsuri sebagai calon PM tetapi (ada pemimpin) Bersatu telah menjawab yang mereka setuju. Ini menunjukkan mereka sebenarnya telah terperangkap dalam percaturan politik PAS.
“PAS ingin menggambarkan persepsi bahawa dalam PN, PAS lebih berkuasa walaupun ketua pembangkangnya Hamzah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan