"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hampir semua mereka 'ular sawa'

Abdullahjones

"Sampai 85,000 orang pergi konsert tentu saja satu kejayaan kepada band tu," kata seorang sahabat.

Kami tidak menyokong dan juga tidak menentang apa yang dia katakan itu. Mungkin kerana kami tidak tahu sama ada dia sedang bergurau atau pun benar-benar serius.

Kami jangka itu hanya kenyataan biasa yang mahu disampaikannya. Dan kami tersilap.

"Ini juga membuktikan yang PAS telah gagal tambah," dia lagi. Sekali lagi kami tidak berkata apa-apa. Bimbang jika bersetuju dengan sahabat kami itu maka kami pun dituduh antiperjuangan Islam.

Kami tidak akan menyebut nama sebenar sahabat kami yang itu. Kami tidak mahu dia berbangga-bangga kerana namanya disebut dalam portal ini.

Namun untuk memudahkan cerita, kami gelarkan saja sahabat kami itu sebagai Abror - bersempena dengan nama seorang penulis dan sasterawan siber terkenal yang diketahui sebagai ‘musuh Isle’ yang nyata.

Abror kemudian menerangkan kepada kami yang sejak zaman Sudirman lagi PAS sudah berusaha menghalang segala macam konsert di mana-mana saja.

Sehingga hari ini, sudah lebih 30 tahun PAS gagal dalam perjuangannya yang satu itu. Kemudian Abror ketawa kuat. Justeru tahulah kami yang ketika itu dia sebenarnya sedang bergurau.

Kami kenang kembali apa yang diperkatakannya dan ikut ketawa.

"Selagi kita tak jadi Taliban, jangan haraplah nak dapat haramkan konsert," kata Abror lagi. Dia mungkin sedang serius namun kami tidak pula mahu menyokong atau menidakkan pendapatnya yang ekstrem itu.

Sementelah pula kami ini seorang yang senang diperkotak-katikkan.

Percaya tangkal, azimat

Kita selalunya mengambil agama apabila ia mendatangkan untung. Dengan "untung" itu kami maksudkan ialah apa yang dapat kita pandang dengan mata.

Kerana itu tidak sedikit daripada kita yang sembahyang duha - misalnya - hanya untuk menjadi kaya.

Kita gantung ayat dari surah at-Talaq sebagai tangkal di kedai-kedai dan juga di rumah, juga untuk menjadi kaya. Ayat-ayat suci al-Quran juga kita jadikan hiasan di rumah-rumah dengan harapan kita akan beroleh kesenangan daripadanya.

Dan kita perdengarkan ayat-ayat suci itu di merata kedai makan. Untuk apa? Untuk elak disantau oleh saingan dalam perniagaan.

Tidak ada langsung rasa hormat kita pada perkataan Tuhan.

Perkataan-perkataan Tuhan kepada kita tidak lebih hanyalah tangkal dan azimat. Kita percaya dalam diam bahawa rezeki bukan lagi datang daripada Tuhan yang Maha Kaya, sebaliknya atas jasa segala tangkal dan azimat, serta amalan yang kita lakukan.

Islam pada pendapat kita cuma itu - yakni menghalang konsert, sembahyang untuk jadi kaya dan gantung azimat di mana-mana tempat yang kita rasakan perlu.

Marah benar kita semua apabila orang luar datang dan melekakan anak Melayu kita dengan hiburan yang tidak memberi manfaat.

Pada masa yang sama kita sorak habis-habisan orang kita yang kononnya menutup aurat sambil berjoget melalak di pentas hiburan hampir setiap hari.

Malah jika mahu setuju, kita adalah negara Islam yang pertama yang menerima dengan rela hati perempuan yang bertudung naik ke pentas lalu bernyanyi.

Sudah merapu terlalu jauh

Kita jadi terharu apabila mereka itu - yang dulu terbuka itu ini - sekarang sudah ‘menutup aurat’ dan terus gigih menghiburkan kita.

Tutup aurat kepada kita adalah menutup rambut. Biar betapa ketat pakaian mereka, tidak mengapa. Asal saja mereka menutup kepala maka sudah Islamlah dan sangat perlu diraikanlah mereka itu.

(Dan seperti yang selalu kami katakan, apabila ada antara mereka ini kembali membuka tudung, seperti telah kiamatlah dunia dengan berita hiburan tersebut.)

"Kalau nak masuk Islam, masuk semua... tak payah nak sibuk naik pentas lepas bertaubat," kata Abror apabila kami berbual mengenai perkara di atas.

Sebenarnya memang begitulah. Setelah diberi sedikit jalan untuk kembali beragama, kita semua harus berusaha untuk meninggalkan apa-apa yang kita tahu tidak berfaedah.

Ia adalah sesuatu yang amat payah namun usaha ke arah itu wajib dilakukan dan wajib juga melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Dunia hiburan tempatan sudah pergi terlalu jauh. Hari ini semua orang terjebak dengan dunia yang satu itu. Budak-budak terlibat, mak ayah budak terlibat. Pak haji dan mak hajah juga tumpang sekaki.

Orang yang terkenal alim dalam hal agama juga tidak mahu jauh ketinggalan.

Kewarakan orang yang beragama kini hanya mitos. Dulu hanya segelintir orang saja yang dilihat mahu meniru kehidupan artis seperti penyanyi dan pelakon.

Macam majlis cari jodoh

Namun hari ini semua orang menjadikan golongan tersebut sebagai panduan menjalani kehidupan. Apa yang mereka pakai jadi ikutan. Bahasa percakapan mereka jadi slanga rujukan. Kekayaan mereka jadi idaman.

Kamu marah apabila perempuan itu melekehkan amalan yang kami yakin akan menjadikan kamu senang-lenang. Dia mungkin salah namun kamu juga tidak betul apabila memandang amalan agama sebagai suatu jalan untuk mencari kemewahan materi.

"Apakah ada jalan kembali untuk kita semua?" tanya Abror. Seperti selalu kami menunggu kalau-kalau dia ada punch line yang baik.

Ternyata ia hanya sebuah pertanyaan yang dibuat agar dia dilihat sebagai seorang pemikir.

Kerajaan Madani tidak lebih dan tidak kurang daripada mana-mana kerajaan yang pernah memerintah kita. Orang politik memang kerjanya berpolitik.

Mereka janjikan apa yang kamu mahu dan kadangkala memberikan sedikit habuan kepada kamu agar kamu berpuas hati lalu kekal menyokong mereka.

PAS juga berdosa apabila meninggalkan "perjuangan" dan menumpukan perhatian kepada langkah "nak menang".

Belajar agama bagi orang PAS hari ini adalah menghadiri ceramah-ceramah politik. Tidak ada lagi golongan muda dari kumpulan itu yang duduk berkumpul dan mengisahkan akan kebesaran Tuhan.

Ya, walaupun majlis-majlis yang dikelolakan oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi satu masa dulu itu seakan-akan majlis mencari jodoh, sekurang-kurangnya di sana mereka mempelajari ayat-ayat al-Quran dan juga hadis.

Mereka yang berada dalam politik hampir semuanya ular sawa. Rajin ke sana ke mari semasa lapar, dan duduk menyandar setelah kenyang.

Siapa pun mereka, yang paling penting adalah menang pilihan raya dan mereka melakukan apa saja untuk mencapainya.

Yang menjadi sebak di hati adalah apabila orang yang mendakwa berjuang atas nama agama, yang tahu lebih banyak akan hukum-hakam berbanding orang kebanyakan terikut-ikut rentak yang sudah terlalu jauh sesatnya itu.

"Tak pergi Gendang Pati ke?" kami bertanya kepada Abror.

"Rambut dah tak ada, gigi dah longgar, dan malu juga kalau kena heart attack semasa meronggeng lagu Bila Rumi Menari," dia menjawab. Kami sama-sama ketawa.

Kami pun jadi teringat kepada sahabat Abror yang sebenar, si jiran Romli Rock itu yang masih mendewakan si sifu walaupun tahun depan dah nak pencen.

Dah-dah la tu cikgu...

Tiada ulasan: