"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis: 4 ‘mangsa’ runtuhan lari bukan tertimbus

Bernama

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi pekerja asing yang disyaki terperangkap dalam runtuhan gudang di Batu Maung ditamatkan pada 6.30 petang tadi selepas semua mangsa sebenarnya masih hidup dan melarikan diri selepas kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata semua mereka dikesan melarikan diri berkemungkinan kerana ketakutan disebabkan tiada permit.

Menurutnya, semua mereka sudah ditahan kira-kira 4 petang tadi di sekitar kawasan Bayan Lepas dan kini dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kami sudah jalankan SAR sejak 10.30 malam semalam hingga 6.30 petang ini menggunakan lima elemen iaitu Juru Analisa Tempat Kejadian, Unit Anjing Pengesan, mengorek keseluruhan runtuhan, dron selain bantuan daripada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia.

“Bagaimanapun, dapatan kita bahawa empat mangsa di bawah timbunan yang diberitahu majikan dan mandur sebenarnya ada di tempat kejadian semasa runtuhan berlaku dan melarikan diri,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Usuf berkata penelitian kamera litar tertutup mendapati keempat-empat mereka dirakam berada di lokasi runtuhan di atas bangunan dalam pembinaan itu pada 9.06 malam dan melarikan diri ketika kejadian.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan angka mangsa yang terlibat dalam kejadian itu kekal lima orang dengan tiga daripada mereka meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohd Sayful Islam, 29.

Dua mangsa yang parah pula adalah Md Uzzal Mridha, 30, patah kaki kiri manakala Md Razu Ahamad, 33, cedera di kepala dan leher dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Usuf berkata setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut akan dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan pasukan bomba.

“Dapatan daripada siasatan oleh agensi terbabit akan diserahkan polis dan jika ada elemen-elemen tertentu mungkin kami akan klasifikasikan kes mengikut seksyen bersesuaian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.58 malam semalam, tiga pekerja warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Tiada ulasan: