HarapanDaily.com
SITI NUR ZAWANI
Selepas polis berjaya menahan seorang guru agama yang membuat hantaran ugutan bunuh kepada Perdana Menteri, seorang lagi lelaki didakwa memuat naik ugutan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengguna Facebook menggunakan akaun Muhammad Irfan didakwa memuat naik hantaran mahu mengebom rumah Perdana Menteri.
Hantaran itu tular di media sosial dengan orang ramai menyebut (mention) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan.
“Tunggu masa nak kena bom je rumah Anwar ni. Majoriti rakyat pun dah benci dengan dia. Pejuang LGBT patut mampos,” tulis akaun tersebut.
Bagaimanapun individu tersebut kemudian memuat naik hantaran baru, mendakwa akaun miliknya digodam orang yang tidak berpuas hati terhadapnya.
Semalam, seorang ustaz Maktab Mahmud Kulim ditahan polis selepas menerima lima laporan berhubung kenyataan fitnah dan ugutan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan untuk kesalahan menakutkan secara jenayah dengan menyembunyikan nama yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan